KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan pihaknya akan membuat penelitian terhadap isu boikot sebelum membuat sebarang keputusan atau tindakan berkaitan.

Ia susulan kenyataan Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh pada Jumaat, yang berkata tindakan boikot terhadap kedai serbaneka KK Mart susulan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, sebenarnya bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW.

Jelas Mohd Na’im, pandangan mufti itu pastinya mengambil kira kesan boikot pada jenama tertentu dan mereka yang terlibat.

"Sebagai manusia kita ada pandangan berbeza. Pandangan Mufti Perak itu kita akan teliti, saya sebagai Menteri Agama, sudah maklumkan pada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) untuk teliti pandangan itu dan tengok dari semua sudut.

"Boikot ini pilihan individu, jadi ada pandagan berbeza. Kita hormat pandangan mufti, kita akan teliti dan IKIM akan ambil pendekatan lihat pandangan itu secara umum dan kita akan buat keputusan selepas itu," katanya ketika ditemui selepas  Majlis Ramah Mesra Masjid dan Surau Jumaat di Dataran Merdeka, pada Sabtu.

Terdahulu, media melaporkan QSR Brands (M) Holdings Bhd yang merupakan pemegang francais KFC Malaysia, mengambil langkah menutup beberapa cawangan rangkaian makanan segera itu buat sementara waktu, dengan alasan ia adalah tindak balas terhadap situasi ekonomi mencabar.

Selain itu, Berjaya Corp Bhd yang memiliki rangkaian kafe Starbucks, juga merekod peningkatan kerugian lebih empat kali ganda pada September hingga Disember tahun lepas, berbanding suku yang sama pada 2022.

Kedua-duanya didakwa mempunyai kaitan dengan boikot akibat konflik Israel-Palestin yang berterusan sehingga kini.