Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin melahirkan rasa kesal ekoran seorang ahli bomba yang sedang bertugas didakwa telah dipukul dan dicederakan oleh sekumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman awal hari ini.

Beliau berkata, perkara itu sepatutnya tidak terjadi dan semua pihak harus menghormati penjawat awam yang sedang bertugas, khususnya anggota beruniform.

"Daripada insiden ini, saya ingin ingatkan semua pihak, dalam Malaysia Baharu, harus ikut perlembagaan dan undang undang. Tidak boleh ambil tindakan ikut selera mereka.

"Penguatkuasaan yang ada juga harus dijalankan dengan kaedah lebih diplomatik," katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini, sambil melahirkan kekecewaan terhadap insiden yang disifatkannya keterlaluan.

Menurut Zuraida, dalam isu berkaitan perpindahan tapak kuil ini, ia isu lama yang tertunggak dan sepatutnya sudah ditangani lebih awal.

"Harus ada rundingan, round table (discussion) dan sebagainya, memanggil semua terlibat, memanggil seorang fasilitator dan mediator," tambahnya.

BACA: Kecoh lagi di Kuil Sri Maha Mariamman, tetapi keadaan terkawal

BACA: Anggota bomba cedera, jentera dirosakkan

BACA: Kekecohan di kuil: Jumlah tangkapan meningkat kepada 21

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi ini, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dilaporkan cedera manakala jentera yang dinaikinya turut dirosakkan.

Susulan serangan itu, anggota bomba tidak dapat memadam kebakaran beberapa kenderaan dan mereka terpaksa diselamatkan orang awam yang berada di kawasan kejadian.

Tahap kecederaan anggota bomba itu belum dapat dipastikan tetapi beliau kini sedang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Sementara itu, Zuraida berkata, beliau mengharapkan agar polis dapat menjalankan siasatan dengan sewajarnya berdasarkan semua bukti yang sudah diperolehi.