Mereka yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bulan depan diminta bukan kerana kepentingan individu sebaliknya mendokong prinsip dan perjuangan Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, apabila seseorang itu bertanding atas nama parti yang diwakilinya, bermakna perlu memberi tumpuan untuk meraih kemenangan lebih cemerlang berbanding PRU13.

"Jika seseorang calon tewas pada PRU, parti yang didokong itu yang akan bertanggungjawab atau dipersalahkan, bukannya individu atau calon berkenaan.

"Jika mereka berpegang kepada hakikat itu, saya percaya tidak akan timbul soal perebutan menjadi calon atau kawasan untuk ditandingi, malah tidak berlaku perbuatan khianat dan mensabotaj parti," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

BACA: PRU14: Watikah calon seawal Selasa, banyak nama Pemuda tiada?

BACA:
BN jangka umum calon 7 hari sebelum penamaan

Justeru, Syed Ali mengingatkan komponen BN khususnya ahli-ahli UMNO di semua peringkat supaya sentiasa memikirkan bagaimana untuk menewaskan calon pembangkang terutama daripada Pakatan Harapan (PH).

"Fikirkan bagaimana untuk kita menang, bukannya menunjukkan sikap penentangan terhadap sebarang keputusan pucuk pimpinan parti.

"BN perlu memenangi PRU14 melebihi majoriti dua pertiga untuk membentuk keraajan yang stabil dalam usaha meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Jangan anggap kita mahu menang kerana kepentingan peribadi atau puak tertentu, yang penting kita perlu menang demi kelangsungan perjuangan generasi akan datang," tegasnya.

Ujarnya, yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, anggota komponen BN perlu memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN dalam membuat keputusan berhubung pemilihan calon.

"Apabila rasa kecewa diluahkan secara terbuka, tidak puas hati dan protes terhadap pemilihan calon contohnya, bermakna secara tidak langsung keputusan dibuat oleh Najib tidak dihormati dan dihargai.

"Pucuk pimpinan BN terutama Najib yang juga Presiden UMNO tidak akan membuat keputusan yang akan merugikan parti," jelasnya.

Dalam hal ini, Syed Ali mengingatkan komponen BN, agar menjauhkan unsur-unsur tekanan atau berbau ugutan terhadap keputusan Najib berhubung penentuan calon yang bakal bertanding pada PRU kali ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berpendapat mana-mana pemimpin parti yang berasakan sudah lama berkhidmat sebagai wakil rakyat seeloknya memberi laluan kepada pemimpin pelapis.

"Ramai yang boleh bersetuju, mereka yang sudah beberapa penggal jadi wakil rakyat eloklah berundur kerana BN memiliki ramai pemimpin muda yang berkaliber dan boleh diketengahkan," katanya.

Bagaimanapun tegas beliau, semuanya terpulang kepada keputusan Perdana Menteri dan kesediaan pemimpin berkenaan untuk sekali lagi dicalonkan pada PRU14.

"Paling penting, berusaha meningkatkan sokongan dan penerimaan rakyat setempat terhadap calon-calon BN kerana mereka adalah pengundi yang akan melakukan perhintungan sebenarnya," katanya.

Tambah Syed Ali lagi, UMNO di Wilayah Persekutuan khususnya jangan memandang ringan terhadap keupayaan calon-calon daripada Pakatan Harapan pada PRU kali ini.

"Saya bersetuju apabila ramai orang berkata calon-calon pembangkang terutama di Titiwangsa tidak setanding calon UMNO, tetapi kita perlu berwaspada dan meningkatkan jentera parti," tegasnya.