KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Badan Peguam sebagai penyibuk (‘busy body’) dan pilih bulu.

Ia berhubung tindakan Badan Peguam yang memfailkan permohonan semakan kehakiman dan perintah supaya keputusan Peguam Negara (AG) agar Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), dibatalkan.

Menerusi afidavit sokongannya yang difailkan peguam bagi pihak Ahmad Zahid pada Khamis minggu lalu menyatakan, tindakan Badan Peguam selaku pemohon, sebagai suatu sifat tidak bertanggungjawab, selektif (pilih bulu) dan berat sebelah.

Menurutnya, pemohon cuba menggambarkan imejnya sebagai juara keadilan ‘Champions of Justice’ kepada rakyat dengan mempersoalkan keputusan AG selaku responden pertama dan mahkamah, yang membenarkan keputusan DNAA itu.

“Badan Peguam pilih bulu dan hanya berdiam diri, bisu atau takut dengan keputusan DNAA yang sama dibuat oleh AG, bagi kes berkaitan ahli politik lain, antaranya bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng,” katanya.

Bagi kes hasutan bawah seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, beliau berkata, Mohd Tamrin diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen pada 10 Oktober 2014.

Bagaimanapun, pada 29 Ogos 2018, pihak pendakwaan membuat keputusan untuk menarik balik pertuduhan dalam kes tersebut.

Sementara kes rasuah terhadap Guan Eng, beliau berkata, Pendakwa Raya membuat keputusan untuk enggan mendakwa, selepas beberapa saksi dipanggil untuk perbicaraan.

Katanya, pemohon tidak membangkitkan sebarang kritikan, malah Presiden pemohon yang terdahulu, George Varughese membuat kenyataan bahawa, pendakwaan mempunyai hak mutlak untuk menarik balik pertuduhan jenayah terhadap mana-mana tertuduh, dalam apa sahaja peringkat perbicaraan.

Beliau berkata, pihak terbabit turut menyatakan, tindakan boleh dibuat selagi mahkamah tidak membuat sebarang keputusan berhubung kes berkenaan.

“Ironinya, pemohon mengambil dapatan yang berbeza dengan mencabar kuasa Pendakwa Raya bagi kes saya,” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata, pemohon menunjukkan kelakuan tidak rasional dan tidak munasabah dalam mempersoalkan kuasa yang diberikan kepada AG yang menjalankan tugas sebagai Pendakwa Raya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, keputusan AG berhubung permohonan DNAA termaktub dalam kuasa progatif dan kuasa selaku Pendakwa Raya di bawah Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, memandangkan AG bertindak dalam kuasa yang diberikan di bawah perlembagaan, beliau percaya bahawa keputusan AG tidak boleh dicabar melalui suatu semakan kehakiman.

Oleh itu beliau berkata, pemohon tiada keupayaan undang-undang atau ‘locus standi’ yang memadai untuk memfailkan permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap AG dan dirinya.

Semasa prosiding di Mahkamah Tinggi pada Khamis, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly mewakili AG berkata, peruntukan Seksyen 254 (1) Kanun Tatacara Jenayah membenarkan Pendakwa Raya memohon bagi DNAA selepas peringkat prima facie.

Beliau yang mengemukakan hujahan dalam permohonan bantahan AG terhadap kebenaran semakan kehakiman itu berkata, peruntukan undang-undang tersebut tidak menyatakan had masa bagi Pendakwa Raya untuk berbuat demikian.

“Badan Peguam tidak memenuhi keperluan udang-undang bagi mengemukakan permohonan terbabit dan gagal membuktikan bahawa tindakan Peguam Negara itu tidak rasional dan tidak sah,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan yang mewakili pemohon berkata, pihaknya akan merujuk persoalan perlembagaan berhubung permohonan kebenaran itu ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh kemudiannya menetapkan pengurusan kes di hadapan pendaftar pada 6 Februari depan.

Pada 4 Januari lalu, Ahmad Zahid membantah tindakan Badan Peguam yang mempertikai keputusan AG supaya tidak meneruskan kes, sehingga menyebabkan Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan kes jenayah, September tahun lalu.

Pada 4 September tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada lapan pertuduhan rasuah, 12 dakwaan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memaklumkan AG memberhentikan semua prosiding terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk ini.

Pada ketika itu, AG melalui Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar menyatakan siasatan lanjut perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berdasarkan representasi yang dihantar Ahmad Zahid pada Disember 2022 iaitu tiga tahun selepas kes bermula.

Susulan itu, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2 Disember tahun lalu, dan memohon perintah supaya keputusan AG yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan, dibatalkan.

Badan Peguam turut memohon perisytiharan bahawa keputusan AG itu adalah batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasa dan kuasa yang diberikan kepada responden pertama mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Turut dimohon ialah satu perisytiharan bahawa keputusan itu tidak munasabah, tercemar dengan tidak rasional. - Sinar Harian