KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan situasi menang-menang dicapai berhubung isu perjawatan doktor kontrak.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perincian mengenai isu berkenaan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Kesihatan dan saya telah membentuk Jawatankuasa Tertinggi, bukan hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlibat tetapi juga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan beberapa pihak yang harus diadakan perbincangan.

"Untuk memuktamadkan bahawa skema yang baharu mesti diwujudkan bagi kita menyantuni doktor kontrak yang harus dibela dan pembelaan ini harus mengikut tatacara dan skema perkhidmatan pihak kerajaan," jelasnya.

Tambahnya, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak, beberapa syarat dan skema baharu akan dibincangkan.

Justeru, beliau berharap peluang diberikan kepadanya untuk menyelesaikan masalah terbabit secara menang-menang.

"Ada cadangan diperbincangkan untuk meletakkan mereka sebagai doktor bertaraf perkhidmatan tetap. Beberapa syarat dan skema baharu akan diperbincangkan, jadi saya harap mereka beri peluang kepada saya  dan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak ini untuk menyelesaikan dengan cepat.

"Insya-Allah tidak ada masalah yang tidak dapat kita selesaikan, saya yakin ia boleh diselesaikan Insya-Allah, saya akan adakan perbincangan secara terperinci.

"Untuk muktamadkannya saya pasti akan bertemu Perdana Menteri dengan situasi menang-menang supaya tidak yang ada rugi dan tidak ada rasa tersingkir serta terpinggir dalam perkhidmatan yang akan kita adakan ini," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Dewa dan Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di sini pada Ahad.