KUALA LUMPUR: Alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) menzahirkan rasa kesal terhadap pihak pengurusan universiti terbabit yang didakwa tidak melayan bantahan berhubung penggabungan fakulti berkenaan dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM).

Menurut Presidennya, Basree Rakijan, bantahan rasmi telah dikemukakan pada Oktober lalu, namun tidak menerima sebarang respon daripada pihak UiTM.

"Kami dimaklumkan supaya menunggu keputusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) setiap kali kami bertanyakan tentang status.

"Sampai minggu lepas, kami masih menunggu tapi masih tidak ada apa-apa," tegasnya.

KPT beri dua cadangan

Tambah Basree, lebih mengejutkan apabila Jabatan Pendidikan Tinggi Negeri dipercayai telah mengutuskan surat kepada pihak universiti pada November lalu berhubung pengabungan dua fakulti terbabit.

Malah dua cadangan turut diberikan agar dipertimbangkan oleh pihak universiti, namun perkara itu tidak dimaklumkan kepada Alumni FKPM.

"Saya dimaklumkan Jabatan Pendidikan Tinggi Negeri pada 1 November sudah mengutuskan surat kepada UiTM dan memberi dua cadangan untuk dipertimbangkan.

"Tetapi pada 7 November, kami masih lagi disuruh menunggu jawapan sedangkan mereka sudah tahu jawapan dari KPT. Atas sebab itu, saya merasakan pihak UiTM tidak telus dengan pihak alumni berhubung perkara ini," katanya lagi.

Dua cadangan itu antara lain mencadangkan agar pihak universiti sama ada mahu menukar nama kolej atau melaksankan penstrukturan semula Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Pengurusan Maklumat tanpa melibatkan FKPM.

Dikhuatiri beri kesan

Basree turut mendakwa, penggabungan dua fakulti berkenaan pada Oktober lalu dilihat memberi kesan kepada pelajar.

Malah, ada pelajar ujarnya mendakwa sukar mendapat tempat membuat latihan praktikal dalam industri.

"Ada beberapa pelajar yang menghubungi saya mengatakan mereka sukar mendapatkan tempat latihan praktikal kerana nama pengurusan komputer itu," tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Hadir sama dalam sidang media itu, Dekan Fakulti HELP University, Datuk Khairuddin Osman, Penasihat Editorial portal BebasNews, Datuk Zaini Hassan, pakar pengiklanan, Faizal Merican dan Profesor Sejarah Sosial dan Intektual Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Profesor Datuk Ahmad Murad Merican. 

Sebelum ini, Alumni FKPM membantah penggabungan dua fakulti berkenaan atas pendirian entiti baharu itu akan melemahkan pendidikan asas komunikasi.

Untuk rekod, penggabungan dua fakulti itu dikenali sebagai Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media.

Isu penggabungan itu juga dilihat menjadi perbualan di laman sosial terutama kepada bekas pelajar FKPM UiTM yang rata-rata tidak bersetuju dengan cadangan terbabit.