BANDAR SERI BEGAWAN: Isu jerebu rentas sempadan yang membelenggu negara terutama di Sarawak dijangka antara tumpuan perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada Sabtu ini.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Mohd Aini Atan berkata, perkara itu dijangka dibincang pada pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin sempena lawatan kerja dua hari Anwar ke Brunei.
Jelasnya ini kerana, isu jerebu ini merupakan satu isu kesihatan yang saling berkaitan antara kedua negara dan beberapa negara ASEAN lain.
“Dan sebagaimana kita tahu isu jerebu (ketika ini) yang paling terkena tempiasnya ialah Sarawak. Dan dengan kehadiran Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah dalam pertemuan itu pastinya saya rasa isu ini akan dibincangkan. (Tetapi) Itu terpulang kepada kedua-dua pemimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Brunei pada Khamis.
BERITA LANJUT MENYUSUL