KUALA LIPIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya kerajaan Pahang menjadikan isu kelestarian alam sekitar sebagai keutamaan dan tidak berkompromi dalam soal perancangan pembangunan.

Dalam usaha mencari sumber hasil negeri, Al-Sultan Abdullah mahu agar kerajaan negeri terus memelihara khazanah alam sekitar supaya ia berkekalan sehingga ke anak cucu.

"Saya percaya Pahang satu negeri yang besar dan bertuah kerana kita ada bukit, pulau dan taman-taman yang cantik yang boleh kita banggakan. Saya harap dalam memajukan negeri, kerajaan negeri kena menjaga hasil alam dan khazanah ini.

"Saya bimbang jika tiada perancangan jangka panjang, mungkin ini akan menyusahkan generasi akan datang. Sebab itu, semua pihak di semua daerah perlu mempelajari di mana boleh dimaju atau sebaliknya dan perlu ada sikap berhati-hati bila meluluskan projek di Pahang," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Titah Diraja selepas berkenan menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Lipis sebagai Geopark Kebangsaan di Taman Negara Sungai Relau di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah pembangunan tidak boleh dibuat secara 'gila' (gelojoh), sebaliknya dilaksanakan secara 'sederhana, berperingkat dan berfasa' kerana pembangunan sekelip mata berisiko membawa permasalahan lain seperti kesesakan jalan raya dan kebersihan.

"Selain menjaga khazanah alam sekitar, kawasan-kawasan bandar juga perlu diperindahkan dan dibersihkan. Tidak mahu ada kawasan bandar yang kotor dan ini wajib diberi perhatian. Ini keperluan dan kehendak dalam agama Islam.

"Apabila saya balik nanti, saya akan melawat setiap daerah dan bandar supaya semua kawasan ini ditadbir dan berada dalam kedaan yang bersih dan sihat kerana tidak mahu ada penyakit di Pahang," titah Seri Paduka yang turut menzahirkan hasrat supaya negeri ini dapat menjadi contoh kepada negeri lain.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan menzahirkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat sehingga Lipis dapat diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-11 di Malaysia pada 9 Nov lepas.

Selain Lipis, Geopark Kebangsaan lain ialah Jerai, Kedah, Kinta dan Lenggong di Perak, Kinabalu, Sabah, Labuan, Sarawak Delta, Sarawak, Gombak-Hulu Langat, Selangor, Stong, Kelantan, Kenyir, Terengganu dan Perlis.

Dua lagi geoparkmenerima pengiktirafan UNESCO Global Geopark iaitu Langkawi dan Kinabalu.

-- BERNAMA