KOTA BHARU: Isu berhubung seorang Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendakwa roda keretanya dikunci berhampiran sebuah hospital dekat sini yang tular di media sosial baru-baru ini, hanya merupakan salah faham.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin menjelaskan bahawa OKU itu sebenarnya adalah penumpang dan bukan pemilik kereta berkenaan.

"Pemilik kereta itu sememangnya orang biasa atau normal yang telah melakukan kesalahan jelas iaitu tidak mempunyai atau menampal pelekat OKU pada kenderaannya. Maka, saya menasihatkan semua individu supaya berhati-hati apabila menularkan sesuatu isu," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Pada Ahad, tular di Facebook dan Twitter isu seorang lelaki warga emas berstatus OKU bersama isterinya yang menghidap barah tahap empat terpaksa menunggu hampir dua jam selepas roda kereta mereka dikunci oleh kakitangan sebuah syarikat yang menguruskan tempat letak kereta di sekitar bandar ini.

Perkongsian itu mendapat hampir 5,000 reaksi pelbagai daripada pengguna pelayar Facebook dan hampir 9,000 "retweet" di media sosial Twitter yang rata-rata mengecam tindakan pihak berkenaan terhadap lelaki OKU itu.

Dalam perkongsian itu juga, seorang lelaki dikatakan telah membantu pasangan suami isteri itu dengan membayar kompaun bagi membuka kunci pada roda kereta berkenaan.

Sementara itu, syarikat berkenaan dalam hantaran di Facebook memaklumkan, pihaknya melalui Pusat Khidmat Panggilan pada awalnya, diberitahu seorang pemanggil bahawa lelaki OKU itu adalah penumpang dan bukan pemandu kenderaan berkenaan.

"Pemanggil tersebut kemudiannya telah bersetuju untuk membuat bayaran dan arahan buka kunci telah dikeluarkan pada 1.50 tengah hari. Namun, pada 2 petang, Pusat Khidmat Panggilan dihubungi semula oleh pemanggil sama kenderaan terbabit yang mengubah kenyataan sebelum itu dengan menyatakan bahawa pemandu kenderaan itu adalah OKU.

Bagaimanapun, ketika panggilan ini dibuat, kunci tayar kenderaan tersebut telah pun dibuka dan kes dianggap selesai, menurut hantaran tersebut, sambil memberitahu lelaki yang membayar kompaun itu ingin berjumpa dengan pihak pengendali tempat letak kereta bagi membincangkan berhubung perkara itu.

Sehingga kini, syarikat itu masih menunggu lelaki berkenaan supaya ia boleh memberi penjelasan dengan lebih lanjut tentang salah faham ini, katanya lagi.

-- BERNAMA