KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menyahklasifikasikan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkenaan dengan  projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) adalah merupakan satu peluang untuk mengembalikan semula peranan jawatankuasa itu untuk membasmi ketirisan dan penyelewengan dalam negara.

Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan mantan timbalannya, Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama pada Khamis berkata, mereka menyambut baik keputusan yang dibuat kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan perkara tersebut yang mana dapat menjamin kesinambungan kerja siasatan di bawah jawatankuasa tersebut.

"JKSTUPKK ditubuhkan selepas Jemaah Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat pada 30 Mei 2018 mencapai persetujuan untuk melakukan siasatan terhadap tadbir urus, perolehan dan kewangan di pelbagai kementerian.

"JKSTUPKK juga akan mengenal pasti sekiranya berlaku penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara.

"Ahli jawatankuasa JKSTUPKK adalah pakar dalam bidang perundangan, perakaunan, pengauditan dan ketenteraan manakala sekretariat terdiri daripada kalangan mereka yang berpangkat Jusa dan gred 44 ke atas yang tentunya berpengalaman dalam tadbir urus kerajaan.

"Dalam tempoh lebih kurang tiga tahun, JKSTUPKK telah melengkapkan 39 siasatan yang meliputi sembilan kementerian, khasnya Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

"Pencapaian yang mengagumkan ini adalah hasil titik peluh Pengerusinya,Tan Sri Ambrin Buang bersama lima orang ahli jawatankuasa dan pasukan sekretariat," menurut kenyataan itu.

Namun malang, kerana JKSTUPKK dibubarkan dan keseluruhan kontrak ahli jawatankuasa tidak disambung lagi selepas Julai 2021, katanya.

"Adakah kerajaan berniat untuk musnahkan mekanisme semak dan imbang terhadap perbelanjaan dan tadbir urus kerajaan?," soal beliau.

Terdahulu, pada Rabu, Mesyuarat Jemaah Menteri telah mencadangkan supaya laporan pengauditan forensik projek kapal tempur persisir (LCS) yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan.

BACA: Jemaah Menteri mahu laporan audit forensik LCS dinyahklasifikasi - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, ia merupakan antara komitmen dan jaminan kerajaan tentang siasatan telus, tanpa melindungi sesiapa pun.

Bagaimanapun, katanya lagi, proses itu perlu mendapat nasihat dan pandangan pihak Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.