KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menegaskan Jabatan Peguam Negara (AGC) sentiasa dilibatkan dan memberi kerjasama sangat baik, dalam memuktamadkan perjanjian tambahan keenam (SA6) berkenaan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu menjelaskan beberapa siri perbincangan serta mesyuarat berkenaan draf SA6, telah dilaksanakan bersama sejak April lepas iaitu selepas keputusan hala tuju projek diluluskan Jemaah Menteri pada 19 April.

Menurut kenyataan itu, hasil daripada kesemua libat urus ini, Kementerian Pertahanan telah menerima ulasan AGC melalui surat bertarikh 24 Mei 2023, di mana empat perkara utama telah dibangkitkan iaitu Progress Payment Plan, Integrated Logistic Support, Detailed Design dan Liquidated Ascertained Damages, bersama-sama cadangan pindaan lain.

"Kementerian Pertahanan telah mengambil kira kesemua perkara ini dan pindaan berkaitan telah dibuat sewajarnya.

"Justeru itu, SA6 ini telah ditandatangani setelah mengambil kira ulasan AGC dan juga pandangan laporan PAC terdahulu serta Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan," menurut kenyataan kementerian itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas artikel sebuah portal berita bertajuk 'PAC kecam Mindef meterai perjanjian LCS tanpa persetujuan AGC', yang didakwa dipetik dari laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai kemajuan pembangunan LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023, yang dibentang di Dewan Rakyat, semalam.

Kementerian Pertahanan turut menafikan dakwaan bahawa tiada kemajuan pembinaan LCS sejak lawatan PAC ke-14 pada 11 Dis 2021 hingga lawatan ke-15 pada 10 Jun lepas.

"Ini kerana perancangan penerusan projek LCS yang diluluskan kerajaan pada 19 April lepas antaranya kerja pembinaan bermula pada September 2023, setelah tempoh mobilisasi pembinaan semula selama tiga bulan oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd," katanya.

-- BERNAMA