KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Abdul Latiff Ahmad sedia disiasat bagi membuktikan kebenaran apa yang dijelaskannya berhubung isu projek kapal tempur pesisir (LCS).

Abdul Latiff juga menjelaskan sekiranya individu bernama Zainab Mohd Salleh adalah isteri keduanya, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli perlu membuktikannya.

"Saya berharap saudara Rafizi bersikap lebih jujur dalam berpolitik.

"Pembohongannya bukan sahaja menipu masyarakat tetapi juga menggugat keyakinan rakyat kepada pemerintah sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara bila mana penjelasan yang perlu dibuat mendedahkan rahsia aset pertahanan negara kepada pengetahuan umum," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sekali lagi menegaskan tidak mempunyai isteri atau bekas isteri bernama Zainab Mohd Salleh seperti yang didakwa Rafizi.

Abdul Latif menjelaskan, apa juga perbuatan individu bernama Zainab tidak mempunyai kaitan dengannya dan menjelaskan beliau menjadi Timbalan Menteri Pertahanan dari 2009 hingga 2013.

Jelas Abdul Latif, tarikh kontrak LCS kepada BNS dibuat pada 17 Julai 2014 dan beliau tidak memainkan sebarang peranan dalam kontrak LCS.

"Keluarga saya tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan atau pembekalan dengan Kementerian Pertahanan semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan," katanya lagi.

Abdul Latiff juga mendakwa, Rafizi telah menggunakan satu laporan forensik oleh Alliance sedangkan dokumen tersebut hanya merupakan satu deraf yang tidak ditandatangani dan yang tidak dapat disahkan kandungannya.

"Rafizi bukan sahaja tidak jujur, malah dengan sengaja membuat fitnah apabila menyembunyikan fakta bahawa terdapat laporan forensik sebenar yang ditandatangani oleh Alliance yang secara jelas tidak menyebutkan bahawa Zainab ialah isteri kedua saya," ujar beliau.

BACA: 'Isteri-isteri saya tiada nama Zainab Mohd Salleh' - Abd Latiff

BACA: Isu LCS: Rafizi kongsi bukti Abd Latiff, Zainab terlibat

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu.

Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Abdul Latiff.