Tiada lagi penerokaan baharu akan dilaksanakan di Hutan Simpan Sungai Puteh Utara- Selatan untuk pembinaan pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Teratai, Tiew Way Keng.

Namun persoalan sama ada projek Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) akan terus dibenarkan merentasi hutan simpan berkenaan, masih menjadi tanda tanya.

Tiew mengesahkan bahawa biarpun penerokaan kawasan hutan simpan untuk kerja pembinaan pencawang elektrik telah tamat, namun isu masih timbul berikutan jajaran lebuh raya SUKE akan merentasi sebahagian hutan berkenaan.


"Ya sebahagian hutan simpan itu akan dilalui lebuh raya sebab itulah kami membantah projek berkenaan. Saya sendiri membantah projek berkenaan dan saya telah hadir bersama penduduk kawasan saya untuk menyerah memorandum kepada kerajaan negeri Selangor."

"Setahu saya, kami diberitahu Exco Alam Sekitar, Elizabeth Wong bahawa apa sahaja yang diteroka untuk pencawang TNB telah selesai. Itu hanya untuk TNB," katanya selepas ditemui pada majlis bantahan penduduk setempat terhadap tiga projek lebuhraya iaitu Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE), Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kesan cat merah yang ditanda pada pokok-pokok dipercayai untuk ditebang di hutan simpan berkenaan, katanya, beliau akan mendapatkan pengesahan lanjut berhubung perkara tersebut.

"Kami akan mendapatkan jawapan rasmi daripada kerajaan Selangor dan TNB untuk mengesahkan tentang tanda-tanda itu kerana kami difahamkan bahawa tiada lagi pokok akan ditebang oleh TNB di bawah Projek Grid Kebangsaan," katanya.

Sebelum ini, Astro AWANI ada menyiarkan laporan tentang kesan penerokaan di Hutan Simpan Sungai Puteh Utara-Selatan yang dipercayai untuk kerja pembinaan pencawang elektrik.

Beberapa pokok dicat dengan warna merah bertanda dengan angka seperti "117, 118" dipercayai bilangan pokok yang akan ditebang.

Difahamkan, laluan yang sama dengan pencawang elektrik juga akan digunakan sebagai laluan lebuhraya SUKE.

BACA: Hutan simpan berdepan ancaman bagi pembangunan?

Buat masa ini, pihaknya masih menunggu tarikh pendengaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor selepas penyerahan petisyen bantahan yang ditandatangani lebih 10,000 penduduk setempat yang membantah pembangunan di hutan simpan itu.

SUKE adalah lebuhraya bertingkat sepanjang 31.8 kilometer yang akan mempunyai tiga lorong dua hala yang akan menghubungkan Sri Petaling ke Ulu Kelang melalui Cheras dan Ampang.

Berdasarkan peta cadangan jajaran, lebuhraya itu juga bakal merentasi kawasan berhutan menerusi Taman Putra, Taman Saga, Taman Bukit Teratai, Taman Bukit Segar Jaya dan Taman Cheras Hartamas.

Malah, salah satu daripada tiga tol yang dirancang juga terletak dalam kawasan hutan.