PUTRAJAYA: Tindakan sewajarnya perlu diambil berlandaskan undang-undang negara ini sekiranya wujud elemen disengajakan dalam isu logo kasut keluaran Vern's Holding Sdn Bhd yang didakwa mirip kalimah Allah, tertera pada tapak kasut itu, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan dan menyokong penuh tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

Beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan memandangkan polis telahpun membuka kertas siasatan berhubung kes itu.

"Jakim juga tidak mahu kes sebegini berulang lagi di masa akan datang sama ada oleh Vern's Holding Sdn Bhd, dan juga semua pihak yang menghasilkan apa sahaja produk jualan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jakim telah bertemu Pengasas dan Pengarah Urusan Vern's Holding Sdn Bhd Datuk Seri Ng Chuan Hoo hari ini bagi tujuan siasatan dan meminta penjelasan serta langkah-langkah syarikat untuk mengelakkan isu seumpama itu berulang.

"Pihak Vern's Holding Sdn Bhd telah menjelaskan kedudukan sebenar isu berkenaan dan memohon maaf. Pihak syarikat telah mengambil tindakan drastik dengan menarik balik serta-merta produk itu dari lebih 70 cawangan Vern's di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya.

Hakimah berkata Jakim memberi peringatan tegas kepada Vern's Holding dan semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum.

"(Ia) bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini. Semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu yang menyentuh aspek 3R iaitu agama, raja dan kaum yang boleh menimbulkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian," katanya.

Sebelum ini tular satu video berdurasi tiga minit menerusi media sosial yang memaparkan seorang lelaki mendakwa kasut Vern's yang dibelinya memaparkan logo yang seakan-akan kalimah Allah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini berkata polis menerima lapan laporan di seluruh negara berkaitan isu logo berkenaan, dan kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada sidang media hari ini pula, Razarudin berkata 1,145 pasang kasut dirampas bagi membantu siasatan berkaitan isu berkenaan setakat ini.

-- BERNAMA