KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan laporannya berhubung prosiding Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di Dewan Rakyat pada minggu pertama persidangan Parlimen, Julai ini.

Pengerusinya, Wong Kah Woh turut menyeru supaya Speaker Dewan Rakyat membenarkan tersebut dibahas oleh Ahli-ahli Parlimen untuk sekurang-kurangnya satu hari, memandangkan prosiding ini melibatkan isu yang amat penting.

“Justeru itu, PAC juga mencadangkan Kerajaan mengambil kira pandangan Laporan PAC yang bakal dibentang dan perbahasan Ahli-Ahli Parlimen sebelum mengambil keputusan yang melibatkan implikasi kewangan dalam isu Pembangunan Applikasi MySejahtrera,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, PAC pada 21 April juga telah meneruskan prosiding dengan mendengar penjelasan dan keterangan daripada tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Majlis Keselamatan Negara (MKN), serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Prosiding yang berlangsung selama tiga jam bermula jam 10 pagi itu memberi fokus kepada isu siapa yang terlibat dalam pelantikan syarikat KPI Soft Sdn. Bhd. untuk membangunkan aplikasi MySejahtera kepada pada bulan April 2020.

Ia turut memberi fokus kepada kelangsungan konsep CSR yang dicadangkan, ketidakwujudan kontrak rasmi antara kerajaan dengan syarikat pembangun, serta pemilikan aplikasi MySejahtera khasnya pegangan harta intelek dan pendirian KPI Soft Sdn Bhd dan/atau MySj Sdn Bhd terhadap tuntutan pemilikan harta intelek seperti yang termaktub dalam dokumen-dokumen Mahkamah dan dokumen-dokumen berkaitan.

“PAC akan meneliti segala keterangan, dokumen-dokumen dan minit-minit mesyuarat yang diperolehi dan akan membuat keputusan sama ada memanggil saksi-saksi lanjut,” kata beliau lagi.

JPM diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Mohamad Ismail.

Manakala MAMPU diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Yusoff Ismail; MKN diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Rodzi Md Saad dan NACSA diwakili Ketua Eksekutifnya, Rahamzan Hashim.

“Prosiding kedua ini diadakan selepas prosiding pertama pada 14 April yang dihadiri Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin,” tambahnya.