Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] DKU tegaskan Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

Sumber: MALAY ROYAL TOWN: SERI MENANTI
DKU berkata, pengumuman pada 5 September lalu yang bertujuan menurunkan Tuanku Muhriz tidak mempunyai sebarang kesan dari sudut Perlembagaan dan adat. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kerana tiada proses sah pernah menyebabkan Baginda terhenti memegang jawatan berkenaan.

DKU berkata, pengumuman pada 5 September lalu yang bertujuan menurunkan Tuanku Muhriz tidak mempunyai sebarang kesan dari sudut Perlembagaan dan adat.

Ketetapan itu dibuat menerusi persidangan khas DKU pada Ahad, sebelum kenyataan media mengenainya dikeluarkan hari ini.

Menurut DKU, dokumen 5 September itu bersandar kepada proklamasi bertarikh 19 April lalu yang telah diputuskan sebagai cacat, luput dan terbatal.

“Tiada proses yang sah pernah menyebabkan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir terhenti memegang jawatan itu.

“Baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan,” menurut kenyataan itu.

DKU menjelaskan, proklamasi 19 April berkenaan tidak sah kerana tiga daripada empat individu yang menandatanganinya tidak memegang jawatan Undang mengikut adat luak masing-masing ketika itu.

Selain itu, siasatan penuh seperti diwajibkan di bawah Perkara X(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 tidak pernah dilaksanakan.

Tuanku Muhriz juga, menurut DKU, tidak pernah diberikan notis atau peluang untuk didengar berhubung perkara berkenaan.

DKU berkata, Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun, enggan menandatangani proklamasi tersebut pada 20 April kerana syarat Perkara X tidak dipenuhi dan seorang daripada penandatangan bukan Undang yang sah.

Keengganan itu bermakna fungsi Menteri Besar di bawah Perkara X(2) telah dilaksanakan, sekali gus menyebabkan proklamasi terbabit luput dan terbatal.

Justeru, tindakan Menteri Besar baharu, Datuk Ismail Lasim, menandatangani apa yang pada asasnya merupakan proklamasi sama pada 5 September tidak dapat memulihkan kecacatan berkenaan.

DKU menegaskan, pertukaran Menteri Besar tidak membolehkan fungsi yang telah dilaksanakan diulang semula kerana keadaan itu akan menyebabkan proklamasi sama boleh dihidupkan kembali setiap kali berlaku pertukaran pentadbiran.

Dalam pada itu, DKU berkata tindakan enam individu menandatangani dokumen 5 September berkenaan boleh dianggap sebagai “derhaka” di sisi adat dan undang-undang.

Ini termasuk kerana empat daripada mereka didakwa tidak memegang jawatan yang dinyatakan, selain menandatangani dokumen bagi menurunkan Yang di-Pertuan Besar tanpa siasatan diwajibkan serta mengeluarkan arahan kepada pegawai kerajaan tanpa kuasa sah.

Sehubungan itu, DKU mengarahkan setiausahanya membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap enam individu terbabit.

DKU turut mengarahkan kerajaan negeri serta semua pegawainya supaya terus mengiktiraf dan berurusan dengan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pada masa sama, DKU akan mendapatkan penjelasan rasmi kerajaan negeri mengenai terma rujukan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pendamai.

Menurutnya, perkara berkaitan adat Melayu berada di bawah bidang kuasa DKU mengikut Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan tidak boleh diwakilkan atau dikemukakan untuk proses pendamaian.
 

Must Watch Video

Advertisement