Skip to main content

Malaysia

Isu operasi pemprosesan permohonan FKW diselesaikan secepat mungkin - Gobind

GEORGE TOWN, 19 April — Menteri Digital Gobind Singh Deo ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Dialisis dan Pelancaran Pendigitalan Sistem Pengurusan Kuil Sri Kunj Bihari hari ini.  —fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata masalah itu telah dimaklumkan kepadanya kira-kira sebulan lepas dan pasukan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang menjalankan penelitian terperinci terhadap isu yang timbul. - Foto BERNAMA

GEORGE TOWN: Kementerian Digital telah memperhalusi setiap aduan berhubung isu berkaitan operasi pemprosesan permohonan Pekerja Berpengetahuan Asing (FKW) dan ia dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata masalah itu telah dimaklumkan kepadanya kira-kira sebulan lepas dan pasukan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang menjalankan penelitian terperinci terhadap isu yang timbul.

Advertisement

Beliau berkata pihak Kementerian Digital juga telah mengadakan perbincangan bersama pemain industri selain bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang turut terlibat dalam pengurusan perkara itu dan sebanyak 3,100 aduan berkaitan isu itu direkodkan sehingga Jumaat lepas.

“Seperti mana sedia maklum, perkara itu juga diselenggarakan oleh KDN. Jadi, kami telah pun memperhalusi setiap aduan yang dikemukakan dan saya telah pun bawa ke peringkat kabinet. 

“Jadi, penyelesaiannya sudah pun kami tetapkan tapi hanya kami nak mendapat beberapa butiran lanjut daripada KDN, saya harap ia dapat diselesaikan dalam minggu ini dan saya dapat maklumkan kepada kabinet… kalau tidak minggu ini, selewat-lewatnya minggu depan (dapat selesaikan),” katanya di sini hari ini.

Gobind ditemui selepas melancarkan Pendigitalan Sistem Pengurusan di Kuil-Kuil Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) 2026 di Kuil Sri Kunj Bihari di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi LWHPP RSN Rayer.

Pada 29 Mac lepas, pihak industri dilaporkan membangkitkan kebimbangan berhubung semakan terkini garis panduan permohonan FKW serta tempoh pemprosesannya.

Sementara itu, Gobind berkata Kementerian Digital berharap lebih banyak rumah ibadat di seluruh negara dapat melaksanakan pendigitalan bagi memudahkan urusan penganut termasuk transaksi pembayaran dan tempahan upacara secara dalam talian.

Beliau berkata inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Digital sejak lebih setahun lepas itu bertujuan membantu jawatankuasa kuil dan tokong menambah baik pengurusan serta meningkatkan kecekapan operasi.

“Menerusi pendigitalan, penganut tidak lagi perlu hadir secara fizikal ke rumah ibadat untuk membuat bayaran atau persiapan bagi upacara sembahyang. Langkah itu bukan sahaja menjimatkan masa malah dapat meringankan beban penganut kerana proses menjadi lebih mudah dan teratur. Pada masa sama pengurusan akaun juga dapat diselenggara dengan lebih teliti,” katanya.

Beliau berkata sambutan terhadap inisiatif berkenaan sangat menggalakkan dengan banyak rumah ibadat di seluruh negara telah memulakan usaha pendigitalan.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video