Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meminta badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan kajian kononnya tiga daripada empat pelajar Universiti Awam (UA) mengalami kebuluran tampil memberi penjelasan terperinci.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata pihaknya ingin melihat metod kajian yang dijalankan, termasuk senarai pelajar yang dijadikan sampel dalam kajian tersebut.

"Tindakan-tindakan (perundangan) itu kita tak perlu fikir sangat. Kita minta mereka tampil ke depan. Di pihak univerisiti ini kami tahu (arif) berkenaan penyelidikan.

"Ini menimbulan kegelisahan seluruh negara seolah-olah pelajar kebuluran. Saya minta rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan apa-apa angka," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama beberapa Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) di Menara KPT di sini hari ini.

Jelas Idris, sewajarnya tidak wujud isu kebuluran dalam kalangan pelajar UA lantaran pelbagai bantuan, biasiswa, pinjaman, termasuk peluang perniagaan sambilan disediakan kepada mereka.

"Secara keseluruhannya, Tabung Kebajikan Mahasiswa termasuk Tabung Zakat seluruh UA berjumlah RM15,279,291.84.

"Seramai 31,776 mahasiswa telah menerima bantuan ini termasuk bantuan kewangan untuk pelajar miskin, khairat dan lain-lain termasuk pembayaran yuran pengajian, bil hospital dan lain-lain lagi," katanya.

Tegas Idris, KPT sentiasa prihatin dan komited untuk membantu meringankan beban yang dihadapi pelajar UA.

Beliau pada masa sama meminta rakyat Malaysia untuk bertimbang rasa dan membuat usul periksa sebelum menyebarkan sebarang maklumat yang diragui kesahihannya.

Justeru, Idris menyeru pelajar yang menghadapi kekangan kewangan untuk tampil berjumpa dengan TNC HEPA UA masing-masing supaya pihaknya dapat menyampaikan bantuan sewajarnya kepada mereka yang layak.