NATIONAL
Isu penjaja belon: Polis buka tiga kertas siasatan, termasuk berita palsu

Azry Akmar Ayob menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga kertas siasatan dibuka berhubung kekecohan yang melibatkan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob memberitahu, ia termasuk siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Menjelaskannya, beliau memberitahu, laporan pertama dibuat kira-kira pukul 11.48 pagi, Sabtu daripada seorang anggota DBKL.
Bagi laporan itu katanya, polis memulakan siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.“Sementara itu laporan kedua diterima pada hari sama, kira-kira pukul 3.34 petang, daripada seorang lagi anggota DBKL berhubung penyebaran gambarnya di platform Facebook berserta ugutan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan berita palsu.
“Kita juga siasat kes ini mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membabitkan sebaran dalam talian,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Azry Akmar berkata, laporan ketiga diterima daripada ibu ‘Abang Belon’ kira-kira pukul 12.04 tengah malam Ahad, memaklumkan anaknya mengalami kecederaan akibat pergelutan itu.
Mangsa katanya kini kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan di Serdang Selangor.
Dalam pada itu beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.
Sebelum ini, media melaporkan keadaan di Jalan TAR kecoh malam tadi susulan perselisihan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL.
Berdasarkan dua rakaman video tular berdurasi lebih tiga minit di media sosial sejak awal pagi Sabtu, berlaku aksi tolak menolak antara pegawai penguat kuasa DBKL dan sekumpulan peniaga yang cuba mempertahankan barangan jualan mereka.
Insiden itu dilihat turut menerima kencaman pelbagai pihak termasuk pemimpin negara yang mahu siasatan terperinci dilakukan segara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami