IPOH: Kerajaan negeri tidak akan berselindung dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan, sekiranya terdapat laporan berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar, Perak Tengah.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan terpulang kepada pihak yang terbabit sekiranya mahu membuat aduan dan laporan kepada pihak berkuasa.

"Kalau ada orang buat laporan maka siasatan akan dibuat. Siasatan dibuat mestilah berasaskan kepada aduan, jadi terpulanglah.

"Kalau kata ADUN Manjoi (Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi) nak buat aduan, biarlah pihak berkuasa yang menyiasatnya.

"Saya tidak akan menyapu sampah bawah karpet (selindung), saya tak akan menghalang apa-apa. Nothing to hide," katanya.

Saarani ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Asmuni bahawa penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar, di luar pengetahuan anggota Exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Asmuni dilaporkan berkata, semasa beliau menjadi Exco kerajaan negeri ketika itu, penjualan tanah tersebut tidak pernah dibangkitkan atau dibincang di dalam mesyuarat Exco untuk diluluskan.

Katanya, masih belum terlewat untuk kerajaan negeri menyiasat kembali isu tersebut dan mengambil langkah sewajarnya.

Terdahulu, pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak, Nga Kor Ming mendakwa tanah untuk cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Kor Ming berkata, perbuatan itu dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan perkara itu merupakan salah laku yang cukup serius.

Bagaimanapun, Saarani ketika menjawab soalan berkenaan dalam satu program mengesahkan tanah lapangan terbang itu telah dijual ketika zaman pemerintahan PH.

Saarani berkata semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), tanah tersebut dirizabkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak bagi tujuan pembinaan lapangan terbang berkenaan.