Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merayu agar media lebih bertanggungjawab dan tidak menghasilkan laporan yang boleh memburukkan lagi keadaan perkauman di negara ini.

Beliau, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, memang wujud tindakan segelintir pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman di negara ini, namun media juga harus memainkan peranan dalam memastikan perkara itu tidak berlarutan.

“Kita dapati ada pihak yang menggembar-gemburkan soal kaum, soal agama, perbezaan macam-macam lagi, (tetapi) benda ini semua boleh diselesaikan oleh kerajaan dalam Kabinet.

“Tetapi oleh kerana banyak laporan (media) yang menimbul kemarahan, maka isu yang kecil, menjadi besar, dan dia memisahkan kaum di negara kita,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini hari ini.


Menjelaskan lebih lanjut, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia harus mengambil iktibar tentang api permusuhan antara kaum yang terjadi di luar negara.

“Walaupun mereka satu bangsa, mereka berperang. Di sini kita tak berperang, kita aman, dan negara kita masih dengan ekonomi baik, tapi kalau kita main isu perkauman, isu agama, kelainannya maka sudah tentu kita akan bermusuh sesama kita dan mungkin akan terjadi seperti yang berlaku di Timur Tengah.

“Saya rayu kepada media, jangan main isu perkauman, jangan main isu agama, kalau nak baut laporan, buat laporan yang benar,” katanya lagi.