Barisan Nasional (BN) mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas situasi semasa, terutamanya yang dikaitkan dengan hal-hal berkaitan pentadbiran dan salah guna kuasa, kata bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“BN mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas keadaan yang kita hadapi sekarang ini. Amalan rasuah, salah guna kuasa dan tatakelola yang teruk telah menyebabkan Malaysia jadi begini,” dakwanya.

Anwar turut membuat perbandingan keadaan semasa boleh menjadikan negara ini mengalami keruntuhan ekonomi seperti di Greece.

Kenyataan Anwar yang disampaikan melalui peguamnya itu turut menggesa agar beberapa langkah dilaksanakan bagi menangani situasi yang dihadapi negara pada masa ini.

“Pertama adalah reformasi institusi utama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilihat belum dapat membendung kegiatan rasuah dan salah guna kuasa.

“Kedua adalah reformasi pilihan raya seperti yang digesa Bersih 2.0, dan ketiga adalah pemansuhan Akta Hasutan dan undang-undang lain,” katanya.

Selain itu, Anwar berpendapat, usaha untuk semata-mata menukar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak memadai dan hampir sia-sia.

“Kita pernah lalui proses yang sia-sia di mana pimpinan ditukar, tetapi sistemnya masih tidak berubah. Kita tidak perlukan penyelesaian sedikit demi sedikit, tetapi komitmen serius kepada reformasi dan penghapusan rasuah.

“Usaha menukar Datuk Seri Najib yang dikepalai Tun Mahathir, tanpa reformasi sebenar, hanya akan memuaskan kelompok-kelompok kroni mereka. Ia tidak akan membawa perubahan sebenar buat rakyat,” kata Anwar.