KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama hari ini berkata kesemua mereka akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam minggu ini.

"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung penjualan stoking tertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Super Mart Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Beliau berkata sebanyak 42 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berkaitan isu itu dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Bukit Aman.

"Kes masih di peringkat siasatan. PDRM menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara melalui media sosial," katanya.

Sabtu lepas, pengendali kedai rangkaian serbaneka itu memohon maaf susulan video tular penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Rakyat hari ini berkata walaupun permohonan maaf sudah dibuat KK Super Mart, siasatan tetap diteruskan bagi menyiasat dan mendakwa pihak terbabit khususnya yang mengedar serta menjual produk berkenaan.

Di KLUANG, Johor, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata sebuah kilang di Batu Pahat disiasat berhubung kes pengeluaran stoking tertera kalimah Allah.

"Pihak kami menyokong semua tindakan perundangan kepada pihak berkenaan (yang terlibat) dan sedia membantu pihak berkuasa.

"Kami juga akan ambil tindakan sebaik-baiknya sekiranya agensi penguat kuasa kami diperlukan untuk serbuan atau operasi bersama ... kita akan gerakkan semua agensi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMA) di SMA Kerajaan Johor hari ini.

Mohd Fared berkata beliau mengecam sekeras-kerasnya penjualan stoking tertera kalimah Allah itu dan memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak memainkan sentimen keagamaan.

"Kejadian berkenaan kita jadikan sebagai pengajaran ... kita meminta kepada semua rakyat Johor untuk terus memantau, sekali gus membantu agensi kerajaan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada kecurigaan pada hal yang berkaitan dengan masalah seperti ini," katanya.

-- BERNAMA