MALAYSIA
Isu vape: Pakar minta sesi libat urus tangani ketagihan, penjualan cecair perlu dikawal

Dr Hafaruzi menegaskan keperluan untuk mengawal selia penjualan cecair vape serta memastikan tahap keselamatannya, termasuk mengenal pasti kadar keracunan bahan yang digunakan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa dan pembuat dasar disaran mengadakan sesi libat urus bersama pengamal perubatan di lapangan bagi mencari penyelesaian tuntas terhadap isu ketagihan rokok elektronik atau vape yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan belia.
Ringkasan AI
- Saran Libat Urus dengan Pakar Perubatan - Pihak berkuasa digesa mengadakan sesi libat urus dengan pengamal perubatan bagi merangka dasar lebih berkesan menangani isu ketagihan vape dalam kalangan belia.
- Penjualan Cecair Vape Perlu Dikawal - Dr Hafaruzi mencadangkan penjualan cecair vape hanya dibenarkan kepada ahli farmasi atau profesional kesihatan bagi memastikan keselamatan dan kandungan bahan dikawal.
- Cadangan Guna Model Australia - Beliau mencadangkan Malaysia meniru model Australia, di mana cecair vape hanya dijual di farmasi berdaftar dengan pemantauan ketat dan nasihat profesional.
"Saya juga mohon mereka yang berada di peringkat ibu pejabat turun ke padang atau jemput kami ke tempat di mana keputusan dibuat.
"Ini penting agar wujud kerjasama untuk membanteras masalah ini," katanya dalam program AWANI Pagi, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Hafaruzi menegaskan keperluan untuk mengawal selia penjualan cecair vape serta memastikan tahap keselamatannya, termasuk mengenal pasti kadar keracunan bahan yang digunakan.
Katanya, penjualan cecair vape sepatutnya hanya dibenarkan kepada golongan profesional kesihatan seperti ahli farmasi, yang mempunyai pengetahuan tentang aspek keselamatan dan perundangan bahan tersebut.
"Cecair vape perlu dianggap sebagai bahan terkawal. Di Amerika Syarikat, contohnya, walaupun vape bukan ubat, ia dilabel sebagai makanan atau suplemen kerana digunakan dalam badan manusia.
"Jadi, perlu ada sistem seumpama Food and Drug Administration (FDA) di Malaysia untuk menentukan mana satu cecair yang selamat digunakan dan mana yang tidak," katanya merujuk agensi di Amerika Syarikat.
FDA ialah agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengawal selia keselamatan makanan, ubat-ubatan, produk kesihatan, dan bahan kosmetik untuk melindungi kesihatan awam.
Dr Hafaruzi turut mencadangkan model yang digunakan kerajaan Australia sebagai rujukan, di mana cecair vape hanya dijual di farmasi berdaftar, dan pengguna mendapat nasihat yang tepat daripada mereka yang berkelayakan.
"Malangnya di Malaysia, kebanyakan penjual cecair vape tidak mempunyai latar belakang perubatan. Ini bahaya kerana mereka tidak tahu status keselamatan bahan tersebut, dan pembeli juga terdedah kepada risiko membeli cecair berbahaya," katanya.
Dr Hafaruzi menggesa tindakan segera bagi mengelak generasi muda terus terjerumus dalam kancah ketagihan yang boleh membawa kesan kesihatan jangka panjang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami