Kursus Penguatkuasaan Jenayah Siber tingkat keupayaan penguat kuasa - MCMC

Di Malaysia, sejak 2022 MCMC telah menyekat 2.2 bilion panggilan meragukan dan 2.2 bilion SMS tidak diminta, menamatkan 185,499 talian SMS mencurigakan serta mengemukakan 12,001 permohonan penurunan kandungan penipuan pelabur.
PUTRAJAYA: Kursus Penguatkuasaan Jenayah Siber yang bertujuan mempertingkat keupayaan pegawai penguat kuasa dalam aspek penyiasatan, pengumpulan bukti digital, pengurusan kes serta pelaksanaan tindakan penguatkuasaan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan kursus yang merupakan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, dirasmikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada Majlis Penutupan Pemukimam Antara Agensi mengenai Jenayah Siber 2025 yang diadakan di Melaka, semalam.
Menurut kenyataan itu Fahmi ketika menyempurnakan majlis berkenaan telah menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan merentas sempadan.
MCMC memaklumkan kursus itu merupakan kesinambungan kepada Perjanjian Persefahaman yang telah ditandatangani pada 11 Mac 2024, yang menumpukan kepada pembangunan kapasiti berkaitan siasatan dan penguatkuasaan.
"Kerjasama antara MCMC dengan PDRM turut merangkumi Op Pedo 1 (Dis 2024), Op Pancing (Sept 2025) dan Op Pedo 2 (Sept 2025)," menurut MCMC.
Kenyataan itu menyebut kursus yang akan mula dilaksanakan mulai tahun depan itu memberi fokus kepada modul latihan standard untuk pegawai penguat kuasa daripada agensi kerajaan dengan penglibatan kepakaran pelbagai agensi keselamatan jenayah siber di peringkat nasional.
"Inisiatif ini diharap dapat membentuk barisan penguat kuasa yang bersepadu dan responsif terhadap ancaman siber di negara ini," menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, MCMC berkongsi purata kos ketirisan data di rantau ini bagi tahun lepas yang dianggarkan melebihi USD 3 juta (kira-kira RM12.7 juta) manakala kerugian akibat penipuan di Asia mencecah USD 688.4 bilion (sekitar RM2.91 trilion), dengan seorang daripada dua rakyat berdepan penipuan setiap bulan.
Di Malaysia, sejak 2022 MCMC telah menyekat 2.2 bilion panggilan meragukan dan 2.2 bilion sistem pesanan ringkas (SMS) tidak diminta, menamatkan 185,499 talian SMS mencurigakan serta mengemukakan 12,001 permohonan penurunan kandungan penipuan pelaburan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


