Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta agar parti politik bekerjasama membersihkan persepsi rasuah yang kian merudum di kalangan institusi terbabit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed menyifatkan perlu ini perlu dipandang serius parti politik di Malaysia memandangkan punca kepada persepsi ini timbul terus menjadi persoalan ramai.

“Pihak SPRM meminta agar semua hal berkaitan dana politik mahupun derma politik (political donation) diperbetulkan kerana terdapat pihak yang salah anggap dengan pemberian derma politik ini, seolah-olah ia satu perbuatan rasuah.” ujar beliau.

Tambahnya, ketelusan dalam hal derma politik mampu memberi kesan positif kepada indeks persepsi ini dan seharusnya mempunyai satu mekanisme pengisytiharan.

"Ini penting walaupun hanya langkah kecil buat mereka yang berada dalam institusi parti politik," tambah beliau.

Kepentingan utama pengisytiharan ini agar semua orang tahu dan faham dana yang digunapakai parti politik dalam operasinyadi Malaysia.

“Memang ada peruntukan undang-undang yang menghalang sebarang dana luar dari membiayai parti-parti politik, akan tetapi kita perlukan kerjasama semua parti politik untuk mewujudkan mekanisme pengisytiharan ini," katanya.

Beliau turut memberi contoh dengan mengambil Amerika Syarikat sebagai rujukan, di mana parti politk perlu mengisytiharkan semua sumber kewangan mereka demi menujukkan ketelusan dalam gerakan politik di sana.

Laporan kajian Barometer Rasuah peringkat nasional terbaru oleh Transparency International Malaysia, TMI mendapati parti politik melonjak ke kedudukan pertama institusi yang paling terdedah kepada rasuah dengan bacaan 45% berbanding institusi polis yang berada di tempat kedua dengan bacaan indeks persepsi sebanyak 42%.