KUALA LUMPUR: Dua tokoh wanita hari ini menzahirkan sokongan ke atas lantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Pengerusi Lembaga Pengarah Heriot-Watt University Malaysia Datuk Yasmin Mahmood menyifatkan kepimpinan Izzana mampu membawa perubahan.

"Ini (pelantikan Izzana) adalah kepelbagaian yang sangat diperlukan!

"Izzana bukan sahaja seorang wanita muda yang berkelayakan dan berprestasi tinggi, malah beliau juga mempunyai visi untuk memacu perubahan," katanya menerusi perkongsian di Twitter rasminya.


Seruan sama disambut baik Pro Canselor Universiti Heriot-Watt Malaysia (HWUM), Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, yang turut mengulang ciapan perkongsian Yasmin. 

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mempertahankan tindakan beliau melantik Izzana sebagai pengarah dalam MDEC.

Katanya, Izzana bukan sahaja layak malah lebih daripada layak untuk menduduki jawatan tersebut.

BACA: Jawatan MDEC: Izzana Salleh bukan sahaja layak malah lebih daripada layak - Annuar Musa

Malah, pelantikan yang dibuat Kementerian Kewangan itu berdasarkan merit dan Izzana merupakan wanita yang berkelulusan tinggi serta mempunyai pengalaman tersendiri.

Untuk rekod, Izzana dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MDEC berkuat kuasa 1 Dis lalu.

Pelantikan Izanna menjadi pertikaian memandangkan dia adalah anak kepada bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang juga bekas Ketua Wanita UMNO.