GEORGE TOWN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengeluarkan sebanyak 2.8 juta pasport pasca-COVID-19 iaitu peningkatan empat kali ganda berbanding tempoh sebelum itu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution berkata daripada jumlah itu, 45 peratus memohon pasport secara dalam talian yang hanya mengambil masa tiga minit dan selepas itu pemohon boleh mengambil pasport mereka selepas dua hingga tiga hari.

"Imigresen hari-hari berdepan dengan kehadiran orang ramai dan (imigresen) juga berdepan kesesakan, tapi bukanlah semua pejabatnya, sejak tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sempadan dibuka.

"Contoh macam di Perlis pihak imigresen mengeluarkan 20 hingga 30 pasport setiap hari, namun di Damansara, Shah Alam dan Kelana Jaya, kita keluarkan (pasport) berlipat kali ganda...berlaku kesesakan di sana," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau ditemui selepas hadir pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Saifuddin Nasution yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata JIM juga akan memperkenalkan projek perintis bagi mengatasi kesesakan di pejabat pengeluar pasport tertentu iaitu dengan membuka permohonan untuk dalam talian dan pengambilan pasport sahaja, susulan liputan Internet yang meluas di kawasan terbabit.

"Projek perintis ini sedang diperhalusi dan kita akan laksanakannya selepas semuanya selesai dan untuk permulaan ia akan melibatkan pejabat-pejabat pengeluar pasport di Lembah Klang iaitu lokasi yang sering sesak dengan kehadiran orang ramai dan seterusnya mungkin diperluaskan ke tempat lain.

"Kita ada 77 buah pejabat pengeluar pasport di seluruh negara dan 21 daripadanya alami kesesakan teruk sebelum ini sehingga kita terpaksa tambah waktu bekerja termasuk hari Sabtu dan Ahad, ia membantu sedikit mengurangkan kesesakan," katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 395,000 aduan di seluruh negara setiap bulan dan pasukan polis sedaya upaya untuk menyelesaikannya serta tidak ada sikap membelakangkan aduan yang diterima.

"Seringkali dalam perbincangan dengan Ketua Polis Negara, saya selalu tekankan agar dapat mengambil tindakan segera aduan membabitkan isu-isu keselamatan negara dan perkara-perkara yang mencabar atau menghina agama, kaum, negara dan institusi diraja. Kita juga tak lupa aduan-aduan biasa seperti jenayah atau jenayah indeks," katanya.

-- BERNAMA