PUTRAJAYA: Sindiket membekalkan pendatang tanpa izin menggunakan pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu dipercayai mengaut keuntungan RM4.5 hingga RM5 juta setahun tumpas dalam operasi khas Jabatan Imigresen selama dua hari bermula Rabu lepas.

Dalam operasi itu, seramai 43 orang lelaki warga India, 20 lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga Pakistan berusia 25 hingga 45 tahun ditahan di sebuah kilang dan asrama pekerja asing di Selangor dan pejabat operasi sindiket di Brickfields, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata seorang lelaki warga India berusia 45 tahun yang merupakan dalang utama sindiket turut ditahan manakala seorang lagi lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun juga orang kanan sindiket ditahan di Seremban, Negeri Sembilan.

"Hasil semakan awal mendapati lelaki warga India itu memegang Pas Ekspatriat yang tulen manakala lelaki warga Bangladesh ditahan menggunakan PLKS untuk bergerak bebas di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata modus operandi sindiket ialah dengan menubuhkan syarikat membekalkan tenaga kerja asing dan menawarkan tenaga kerja kepada majikan serta kilang yang memerlukan pekerja.

"Sekiranya dipersetujui, sindiket akan membekalkan pekerja asing tadi yang telah diberikan pelekat PLKS palsu. Ini bertujuan supaya majikan atau kilang mempercayai bahawa mereka merupakan pekerja sah berdasarkan pelekat tertera di pasport," katanya.

Ruslin berkata sindiket akan mengenakan bayaran sebanyak RM6,000 untuk setiap pekerja warga asing yang ingin mendapatkan PLKS bagi membolehkan mereka bekerja di kilang tersebut.

"Majikan atau kilang yang menggunakan pekerja asing ini perlu membayar gaji pekerja kepada syarikat sindiket berkenaan," katanya.

Turut dirampas dalam operasi itu adalah 62 naskah pasport terdiri dari 40 pasport India, 20 pasport Bangladesh, dua pasport Pakistan dalamnya terdapat pelekat PLKS palsu serta lapan keping pelekat PLKS palsu yang belum dilekat dalam pasport.

Beliau berkata kesemua yang ditahan dibawa ke depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta AMLATFPUAA 2001.

-- BERNAMA