KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara menggalakkan badan-badan bukan kerajaan untuk bekerjasama dalam memberikan khidmat kaunseling kepada penghuni yang menjalani hukuman penyalahgunaan dadah.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata kerjasama itu dapat meningkatkan kemudahan kesihatan mental di institusi penjara.

"Saya amat menggalakkan program-program pengurusan kesihatan mental dan kesedaran psikologi kepada banduan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah supaya memberi impak yang besar dan menyeluruh untuk banduan," katanya pada Majlis Konvensyen Psikologi di sini.

Beliau berkata dadah merupakan isu yang wajib diberi perhatian dengan serius kerana ia melibatkan masalah tingkah laku dan kesihatan mental serta boleh menyebabkan seseorang mengalami halusinasi dan berkelakuan ganas sehingga bertindak luar kawalan.

"Dadah jenis stimulan paling dikaitkan dengan gangguan mental dan menyebabkan penagih bertindak di luar pemikiran seperti kemurungan, mania, perubahan tingkah laku dan keganasan.

"Pada 2023, seramai 1,574 banduan dikesan mengalami masalah mental. Halusinasi, mendengar bisikan suara, bertindak agresif kerana kesan dialami penagih dadah," katanya.

Ibrisam berkata Jabatan Penjara membuat perkhidmatan penjagaan kesihatan mental dengan pelbagai cara iaitu sesi kaunseling banduan oleh Pegawai Psikologi dan Pegawai Penjara yang layak dalam bidang berkenaan.

Pelbagai inisiatif juga diambil bagi membendung masalah ini seperti ujian psikologi dan penilaian Know Yourself Know Others, ujian Depression Anxiety and Stress Scale 21, ujian Drug Use Questionnaire dan University of Rhode Island Change Assessment Scale (URICA).

Oleh itu, beliau berpendapat perkhidmatan psikologi dan kaunseling adalah sangat penting dalam institusi koreksional seperti penjara kerana ia memberi peluang kedua kepada banduan untuk berubah ke arah yang lebih baik dan menjadi rakyat yang bertanggungjawab.

-- BERNAMA