SHAH ALAM: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa terdapat unsur kezaliman berkaitan pengurusan kawalan konflik kera di Apartment Sunway, Batu Caves.

Jabatan Perhilitan Selangor menerusi kenyataan memaklumkan, tindakan pengurusan kawalan konflik kera di pangsapuri itu dibuat berdasarkan aduan gangguan kera di kawasan tersebut yang menyebabkan kerosakan harta benda dan ancaman keselamatan kepada penduduk setempat.

Menurut kenyataan itu, jabatan berkenaan telah bekerjasama dengan penduduk menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) Apartment Sunway Batu Caves untuk melaksanakan pemasangan perangkap komuniti.

"Berdasarkan maklumat yang diterima daripada JMC, Jabatan Perhilitan telah hadir ke lokasi untuk mengambil kera-kera di dalam perangkap," menurut kenyataan itu.

Namun, menurut kenyataan itu, portal terbabit telah melaporkan berita yang membuat tiga tuduhan terhadap jabatan tersebut iaitu menembak kera dalam perangkap dan pada jarak dekat; membiarkan haiwan itu mati serta ditinggalkan di lokasi dengan menimbulkan bau busuk serta gagal memaklumkan kepada penduduk tentang tembakan yang dilepaskan.

Menurut jabatan itu kesemua tuduhan tersebut tidak berasas, sebaliknya prosedur suntikan pelalian bagi tujuan menidurkan atau merehatkan kera itu telah dilaksanakan bagi memindahkan haiwan itu di dalam perangkap.

"Setelah mendapat maklumat kera masuk perangkap daripada pihak JMC, Jabatan Perhilitan akan segera mengambil kera di dalam perangkap bagi mengelakkan kera mati di dalam perangkap dan sama sekali tidak akan meninggalkan bangkai kera di lokasi aduan," menurut Perhilitan Selangor.

Menurut jabatan itu kakitangan mereka terlatih dalam pengendalian senjata api yang bertujuan melindungi keselamatan kakitangan daripada serangan kera jantan atau ganas di luar perangkap semasa proses pengambilan.

"Tiada sebarang unsur kekasaran dan kezaliman dilakukan seperti yang dilaporkan dan Perhilitan Selangor menafikan sekerasnya kesemua tuduhan tersebut, sebaliknya semua kakitangan telah menjalankan tugas berdasarkan prosedur operasi standard yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat daripada Jabatan Perhilitan berkaitan pengurusan konflik hidupan liar di Semenanjung Malaysia dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan gangguan hidupan liar boleh disalurkan menerusi talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my. - BERNAMA