MALAYSIA
Jabatan Perikanan Perak sasar sifar ikan asing di perairan negeri dalam tempoh lima tahun

Mohd Ghazali berkata bagi memastikan sasaran direalisasikan, pelbagai inisiatif termasuk kempen kesedaran terhadap kesan kewujudan ikan asing telah dilaksana sejak 2019. - Gambar hiasan
PARIT: Jabatan Perikanan Perak menyasarkan sifar kehadiran ikan asing di perairan sungai seluruh negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang susulan kebimbangan terhadap kesan ekosistem dan kelangsungan spesies ikan tempatan.
Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali Abdul Manap berkata bagaimanapun ia bukan satu tugas mudah memandangkan spesies ikan asing seperti pleco (bandar raya), tilapia, baung ekor merah dan patin Chao Phraya telah lama wujud di perairan, khususnya di Perak.
"Saya ambil contoh ikan pleco, kewujudan ikan ini kebanyakan berasal daripada industri ikan hiasan dan dilepaskan ke perairan umum apabila pemiliknya tidak lagi mampu mengurusnya disebabkan faktor tumbesaran dan sifat agresif spesies itu.
"Apabila dilepaskan ke perairan umum, ikan jenis ini bukan sahaja menjejaskan ekosistem ikan tempatan tetapi lebih memburukkan keadaan ia menjejaskan struktur tebing sungai yang kebiasaannya menjadi habitat atau sarang pembiakan spesies ini," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.Mohd Ghazali berkata bagi memastikan sasaran ditetapkan itu direalisasikan, pelbagai inisiatif termasuk kempen kesedaran terhadap kesan kewujudan ikan asing ini telah dilaksana sejak 2019 melalui kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kita bukan hanya bagi penerangan sama ada secara berdepan atau di media sosial malah kita juga ada anjurkan 'grand prix' (pertandingan) memburu ikan asing di Sungai Pinji serta Sungai Kinta dan kita berjaya memperoleh hasil tangkapan pada ketika itu sekitar dua tan.
"Ini antara kaedah yang kita rasa berpotensi bukan hanya menarik minat masyarakat untuk turut serta, malah sasaran untuk kita membanteras kewujudan ikan ini di perairan umum juga akan menjadi lebih mudah dengan penglibatan ramai pihak," katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga mengambil pendekatan mendekati rumah-rumah ibadat yang bertujuan memberi kesedaran supaya tidak melepaskan ikan asing ke sungai secara semberono walaupun ia adalah sebahagian dari ritual keagamaan.
"Kita beri pilihan untuk mereka guna ikan tempatan bagi tujuan keagamaan, bukannya spesies asing. Ini penting supaya ia tidak memberi impak kepada persekitaran perairan itu," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata mana-mana pihak termasuk NGO yang berminat melakukan aktiviti pemburuan ikan asing di Perak perlu mendapat kelulusan pihaknya sebelum melakukan aktiviti berkenaan.
Kelulusan itu penting bagi memastikan aktiviti itu dilakukan secara sah dan tidak mendatangkan kemudaratan khususnya kepada spesies ikan tempatan yang mendiami kawasan berkenaan.
"Pihak yang berminat perlu mengemukakan surat rasmi kepada jabatan perikanan negeri untuk kelulusan. Kita tak mahu terjadi kononnya nak buru ikan asing, tetapi turut tangkap ikan tempatan, lebih-lebih lagi yang dilindungi," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami