Skip to main content

Malaysia

Jabatan Perikanan uji sampel air, kenal pasti punca kematian ikan di Sungai Perak

Mohd Ghazali berkata, kesemua sampel berkenaan sudah dihantar ke makmal bagi ujian lanjut untuk mengesan sebarang kehadiran kontaminan atau penyakit. - Gambar fail
Mohd Ghazali berkata, kesemua sampel berkenaan sudah dihantar ke makmal bagi ujian lanjut untuk mengesan sebarang kehadiran kontaminan atau penyakit. - Gambar fail

Advertisement

IPOH: Jabatan Perikanan Negeri Perak mengambil beberapa sampel air bagi mengetahui punca sebenar kematian beberapa spesies ikan di Sungai Perak pada 27 Sept lepas.

Pengarahnya Mohd Ghazali A. Manap berkata kesemua sampel berkenaan sudah dihantar ke makmal bagi ujian lanjut untuk mengesan sebarang kehadiran kontaminan atau penyakit.

“Kita dapat maklumat kejadian ini pada 9 pagi, 27 Sept dengan lima pegawai perikanan negeri diarahkan ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan dan tindakan khususnya mengambil sampel air untuk ujian di makmal.

“Buat masa ini, dapatan awal pihak jabatan menunjukkan kematian ikan dipercayai berpunca daripada paras oksigen terlarut yang rendah di beberapa kawasan terjejas,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Beberapa hari lepas, tular di media sosial memaparkan pelbagai spesies ikan seperti tengalan, baung dan patin mati di perairan Sungai Perak berdekatan Sayong, Kuala Kangsar.

Insiden itu turut menimbulkan kebimbangan warga maya terhadap pencemaran air yang boleh menjejaskan ekosistem dan pendapatan nelayan darat.

Dalam pada itu, Mohd Ghazali menzahirkan penghargaan kepada pengadu yang membolehkan langkah susulan diambil dengan pantas.

“Tindakan awal memaklumkan kepada pihak berkuasa dapat membantu jabatan membuat pengesanan penyebab kematian dan menghindarkan sebarang kejadian lebih serius daripada berlaku,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement