Skip to main content

Malaysia

Jadikan #Malaysia100 visi bersama, henti wariskan perpecahan - Hussamuddin

https://www.sinarharian.com.my/article/794195/berita/nasional/jadikan-malaysia100-visi-bersama-henti-wariskan-perpecahan---hussamuddin
Hussamuddin bimbang apabila banyak masa negara kini terbuang dengan pertelingkahan isu kaum, agama dan politik, sedangkan usaha memperbaiki sistem serta institusi negara perlu digerakkan serta-merta tanpa mengira latar belakang atau ideologi. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diseru menjadikan visi #Malaysia100 sebagai hala tuju bersama demi membina dan mewariskan sebuah negara yang lebih baik menjelang ulang tahun ke-100 kemerdekaan negara pada 2057. 

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Yayasan Sinar Untuk Malaysia Datuk Hussamuddin Yaacub berkata tempoh 30 tahun yang berbaki hanyalah merentasi satu generasi, manakala wajah Malaysia yang bakal diterima anak cucu pada waktu itu sedang dibentuk oleh tindakan masyarakat hari ini. 

Beliau meluahkan kebimbangan apabila banyak masa negara kini terbuang dengan pertelingkahan isu kaum, agama dan politik, sedangkan usaha memperbaiki sistem serta institusi negara perlu digerakkan serta-merta tanpa mengira latar belakang atau ideologi. 

“Kita sudah kesuntukan masa. Perpecahan hari ini tidak boleh diwariskan. Rasuah dan pecah amanah tidak boleh membuat kita sekadar mengeluh atau kita terima untuk dirundingkan, dinormalisasi atau dimaafkan. Kita harus berani melawan. Jika institusi kita lemah segera kita pulihkan. Sistem yang rosak betulkan sekarang. 

“Mana-mana yang tidak adil, jangan pura-pura tidak nampak dan didiamkan. Semua ini akan menjadi beban yang terpaksa dipikul oleh anak cucu kita,” katanya dalam satu kenyataan media sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, semalam. 

Hussamuddin berkata amanah pembentukan #Malaysia100 tidak harus ditunggu bermula di Putrajaya, sebaliknya perlu dipupuk dari rumah menerusi penerapan nilai murni dalam jiwa anak-anak, cara menyikapi perbezaan serta keberanian memilih kepimpinan yang berintegriti. 

Mengumpamakan kepimpinan dan nilai negara sebagai “baton” yang perlu diserahkan dari satu generasi ke generasi berikutnya, beliau mengingatkan agar integriti serta nilai ihsan dibangunkan seiring dengan kemajuan fizikal. 

“Baton itulah nilai kita yang perlu dibawa bersama, setinggi mana pun bangunan kita bina dan secanggih mana pun teknologi kita ada dalam membina Malaysia 100 tahun Merdeka. 

“Berikhsan, berintegriti demi kemakmuran negara harus dibangunkan seiring kita membina Malaysia. Jika tidak kita mungkin kelihatan hebat di luaran tetapi di dalamnya reput perlahan-lahan dimakan anai-anai,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menggesa setiap lapisan rakyat untuk mengambil tanggungjawab menentukan nasib serta kedudukan keluarga, organisasi dan negara untuk 30 tahun akan datang demi legasi generasi masa hadapan. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement