Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak termasuk daripada pembangkang diminta mengambil sekolah-sekolah di kawasan mereka sebagai sekolah angkat dan membantu menangani kemerosotan standard Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata kementerian telah menulis kepada semua ADUN berhubung hal itu dengan harapan mereka dapat menggalakkan pelajar menggunakan Bahasa Inggeris setiap hari di kawasan sekolah masing-masing.

"Kami juga telah mengambil beberapa langkah lain untuk meningkatkan standard Bahasa Inggeris. Kami mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri mendirikan papan tanda dwibahasa - dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris serta-merta dan menggalakkan guru besar serta pengetua menggunakan Bahasa Inggeris semasa perhimpunan sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg merasmikan bangunan utama Sekolah Tinggi Katolik di sini hari ini.

Manyin turut mengingatkan bahawa usaha negeri ini meningkatkan kecekapan bahasa dalam kalangan pelajar tidak harus disalahtafsirkan sebagai menurunkan taraf bahasa kebangsaan.

Beliau berkata penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi telah dilaksanakan bertahun-tahun dahulu bagi mewujudkan identiti untuk negara ini dan menyatukan rakyatnya daripada pelbagai bangsa dan agama.

"Kita sememangnya telah mencapai objektif itu," katanya.

Manyin juga menasihatkan para guru agar tidak membetulkan kesilapan yang dibuat pelajar semasa berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris kerana tindakan itu akan menyebabkan pelajar tidak berminat untuk mempelajari bahasa itu.

"Pelajar akan membetulkan diri mereka sendiri kerana mereka akan terus mempelajari Bahasa Inggeris dan akan semakin mahir," katanya.

Beliau berharap semua pihak akan bekerjasama untuk memastikan standard Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar bertambah baik demi kebaikan masa depan mereka.

-- BERNAMA