TAIPING: Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) siap sepenuhnya dengan jajaran terakhir di Seksyen 11 yang menghubungkan Taiping Selatan, Trong dan Beruas dirasmikan, hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang merasmikan jajaran itu berkata, ia akan dibuka kepada semua kenderaan mulai jam 12.01 pagi Selasa.

Menurutnya, sempena pembukaan itu, pihak konsesi bersetuju menawarkan tol percuma bagi kedua-dua arah jajaran berkenaan selama dua bulan, sehingga 11 Mei depan.

“Kali ini lain daripada tempat-tempat lain... tempat lain kita bagi sebulan atau sebulan lebih sikit.

“Tol percuma kali ini yang panjang sehingga dua bulan kerana bulan pertama ini bulan Ramadan.

“Lepas itu kita meraikan Aidilfitri yang juga kira-kira sebulan. Jadi biarlah betul-betul dua bulan dari (tarikh) kita buka malam ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan pembukaan Seksyen 11, Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas WCE di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Pengarah Urusan West Coast Expressway, Lyndon Alfred Felix.

Pembukaan jajaran Seksyen 11 itu  yang menelan belanja RM420 juta dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas yang akan mengambil masa 20 minit, berbanding 55 minit mengikut laluan biasa.

Lebuhraya WCE yang keseluruhannya bernilai RM5 bilion merupakan lebuh raya antara bandar, menghubungkan Changkat Jering di Perak ke Banting, Selangor sepanjang 314.5 kilometer.

Dalam pada itu, Alexander memberitahu, perjanjian konsesi Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sepanjang 60 kilometer akan ditandatangani pertengahan tahun ini.

Pembinaan WISE akan menjadi pelengkap kepada jajaran lebuh raya di Perak yang sering berdepan kesesakan teruk, terutama di laluan berhampiran Terowong Menora.