Skip to main content

Politik

PRN Johor: UMNO sudah kompromi prinsip, sanggup bersama DAP di Putrajaya - Muhyiddin

KOTA KINABALU, 11 Nov -- Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas majlis pengumuman calon PN sempena Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17 di Pusat Teknologi dan Komersial Penampang (ITCC), hari ini._BERNAMA
Dalam ucapannya, Muhyiddin turut menyentuh mengenai tahap pembangunan Johor yang diakui telah mencapai kemajuan, namun masih belum mencukupi untuk bersaing di peringkat lebih tinggi. - Bernama
Advertisement

PAGOH: Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa UMNO kini telah berkompromi dengan prinsip asal perjuangannya susulan kerjasama parti itu dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, UMNO sebelum ini tidak pernah menjalin hubungan dengan DAP kerana perbezaan dasar dan ideologi, khususnya membabitkan kepentingan Melayu dan Islam, namun pendirian tersebut kini dilihat berubah.

“Realitinya hari ini UMNO bersama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, walaupun di peringkat negeri mereka cuba menafikannya,” katanya ketika di Majlis Ceramah Umum dan Pengumuman Calon Bersatu di bawah Perikatan Nasional di Pagoh, pada Khamis.

Muhyiddin berkata, perubahan itu berlaku kerana kepentingan politik untuk kekal berkuasa, sekali gus mengetepikan asas perjuangan yang selama ini menjadi pegangan parti tersebut.

“Hari ini perkara yang dulu dianggap bertentangan sudah tidak lagi menjadi halangan kerana ada kepentingan untuk berada dalam kerajaan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan PN tidak akan mengambil pendekatan sama dan akan terus mempertahankan prinsip perjuangan tanpa kompromi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut menyentuh mengenai tahap pembangunan Johor yang diakui telah mencapai kemajuan, namun masih belum mencukupi untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, walaupun Johor kini lebih maju berbanding beberapa dekad lalu, termasuk pembangunan pesat di kawasan seperti Pagoh yang kini mempunyai beberapa institusi pengajian tinggi, negeri itu masih memerlukan pendekatan baharu untuk melonjak ke tahap seterusnya.

“Saya tidak kata Johor tidak maju, tetapi apa yang telah dicapai ini masih belum cukup jika dibandingkan dengan negara lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan kepada “kekuatan baharu” dan idea segar, termasuk merangka pelan pembangunan jangka panjang bagi meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

Muhyiddin berkata, fokus utama perlu diberikan kepada peningkatan pendapatan rakyat, dengan sasaran untuk meningkatkan tahap pendapatan daripada sekitar RM2,000 hingga RM3,000 ketika ini kepada tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Beliau turut membangkitkan isu kos sara hidup sebagai antara cabaran utama yang dihadapi rakyat, sambil mempersoalkan sama ada terdapat perancangan menyeluruh oleh kerajaan negeri untuk menangani perkara tersebut dalam jangka masa panjang.

Katanya, pendekatan pembangunan masa depan tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah sedia ada, sebaliknya memerlukan strategi lebih tersusun termasuk dalam aspek pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.

Must Watch Video

Advertisement