Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Lelaki meninggal dunia ketika main boling

81755522741_PolisLogoPolisP.jpg
Polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga adik mangsa pada 12.15 tengah malam tadi selepas diberitahu oleh rakannya tentang keadaan abangnya pada 9 malam semalam.
Advertisement

SHAH ALAM: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas dipercayai pengsan ketika bermain boling di sebuah pusat beli-belah di Kuala Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Azaharudin Tajudin berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga adik mangsa pada 12.15 tengah malam tadi selepas diberitahu oleh rakannya tentang keadaan abangnya pada 9 malam semalam.

“Mangsa yang berusia 36 tahun itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang bagi mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada 10.12 malam. Hasil pemeriksaan fizikal ke atas tubuh mangsa juga menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah.

“Bedah siasat oleh Pegawai Perubatan Forensik Hospital Tanjong Karang merumuskan punca kematian adalah serangan jantung mengejut, sekali gus kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menerusi hantaran di Facebook rasmi turut menzahirkan rasa dukacita serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Allahyarham Iz’aan Haris Sarengat.

“Iz’aan Haris adalah peserta Kejohanan Tenpin Boling Belia 2026 anjuran Penggerak Belia Selangor (PeBS) Sabak Bernam. Allahyarham dilaporkan rebah ketika menyertai kejohanan yang berlangsung sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tanjung Karang,” menurut hantaran itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement