MALAYSIA
JAKIM arah masjid, surau anjur solat hajat doakan misi Flotila esok

Mohd Na'im berkata, misi kemanusiaan itu yang didukung oleh komuniti antarabangsa adalah perjuangan mulia demi kemerdekaan Palestin. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Semua masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan untuk mengadakan solat hajat esok bagi mendoakan keselamatan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata solat hajat itu juga bertujuan mendoakan misi kemanusiaan GSF sentiasa dipelihara oleh Allah, diberikan kesejahteraan serta dipermudah segala urusan.
"Seperti yang sedia maklum, beberapa organisasi dalam negara telah menyertai misi kemanusiaan ini bermula 31 Ogos lepas.
"(Justeru), Saya menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan misi Global Sumud Flotilla, sebuah misi kemanusiaan yang memberikan sokongan kepada Palestin diberikan kemudahan dan keselamatan," katanya dalam kenyataan di Facebook malam ini.Beliau berkata misi kemanusiaan itu yang didukung oleh komuniti antarabangsa adalah perjuangan mulia demi kemerdekaan Palestin.
"Sesungguhnya, apa jua inisiatif dan ikhtiar bermatlamat meringankan kesengsaraan umat Palestin pada masa kini mesti diberi dukungan oleh semua pihak, khususnya umat Islam," katanya.
Sebanyak 24 kapal flotila dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol berlepas ke Gaza pada Ahad, membawa mesej kemanusiaan dan bantuan asas, disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia.
Fasa seterusnya akan menyaksikan 15 delegasi Malaysia kumpulan kedua berlepas dari pelabuhan Itali bersama delegasi antarabangsa pada 4 Sept ini, serentak dengan kumpulan ketiga Malaysia yang kini berada di Tunisia.
GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami