Skip to main content

Malaysia

Jakim perkukuh tadbir urus berteraskan Maqasid Syariah

41748584177_tbSirajuddinSuhaime.jpg
Sirajuddin berkata, Jakim pada Februari lepas telah menubuhkan Jawatankuasa Panel Pakar Pembangunan Indeks Maqasid Syariah Malaysia yang dipengerusikan Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) komited memperkukuh tadbir urus organisasi berasaskan nilai integriti, akauntabiliti, profesionalisme dan amanah selaras dengan hasrat memperkasa pembangunan negara berteraskan Maqasid Syariah.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata komitmen itu sejajar dengan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang menzahirkan pandangan agar negara Islam terus memperkukuh tadbir urus serta pembangunan inklusif berteraskan Maqasid Syariah.

“Jakim turut merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan semalam yang menyatakan sokongan penuh Kerajaan MADANI terhadap titah berkenaan. 

“Sesungguhnya, titah Tuanku menjadi pedoman yang amat bermakna dalam memperkukuh sistem pentadbiran negara agar sentiasa berpaksikan prinsip keadilan, amanah, integriti dan kemaslahatan rakyat sebagaimana yang digariskan Maqasid Syariah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sirajuddin berkata sebagai langkah memperkukuh agenda itu, Jakim pada Februari lepas telah menubuhkan Jawatankuasa Panel Pakar Pembangunan Indeks Maqasid Syariah Malaysia yang dipengerusikan Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu bertujuan menjalankan kajian, penyelidikan serta membangunkan kerangka Indeks Maqasid Syariah Malaysia sebagai panduan kepada pelaksanaan dasar, pengukuran prestasi dan pengukuhan budaya tadbir urus yang berintegriti, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih sejahtera, inklusif dan berdaya tahan.

Selaku agensi penyelaras hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, Sirajuddin berkata Jakim akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri serta semua pihak berkepentingan bagi memperkasa pengurusan hal ehwal Islam yang lebih cekap dan berkesan selaras dengan tuntutan Maqasid Syariah.

“Jakim mendoakan agar Allah SWT terus memelihara Institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung agama dan negara, serta mengurniakan kekuatan kepada semua pihak untuk melaksanakan amanah dalam membangunkan sebuah Malaysia yang maju, sejahtera dan diberkati berlandaskan nilai-nilai Islam yang syumul,” katanya.

Sultan Nazrin pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam kelapan baru-baru ini bertitah perkhidmatan awam yang dilaksanakan demi kepentingan setiap rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik mencerminkan perpaduan negara yang kukuh dan pemimpin yang memerintah dengan rendah hati, mendengar keluhan rakyat sebelum menggubal undang-undang. 

Baginda turut bertitah pembangunan tidak boleh dijalankan secara berasingan kerana sebanyak mana pun sumber yang dimiliki, sesebuah negara itu tidak boleh mengasingkan diri daripada dunia kerana perdagangan, pelaburan, pertukaran ilmu pengetahuan dan teknologi bertindak sebagai arus yang membawa kepada kemakmuran.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement