PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru semua pihak yang terlibat dalam penghasilan karya filem dan televisyen supaya merujuk Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam, khususnya bagi kandungan yang menyentuh perkara berkaitan agama dan nilai Islam.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata jabatan itu mengambil serius kandungan media yang mempunyai pengaruh besar dalam menyampaikan mesej serta membentuk nilai dalam masyarakat, khususnya yang melibatkan aspek agama, akhlak dan sensitiviti masyarakat Islam.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi membincangkan usaha, inisiatif dan pendekatan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan kandungan yang dihasilkan mengambil kira nilai agama, akidah, syariah, akhlak serta sensitiviti masyarakat.
“JAKIM komited untuk terus bekerjasama dengan FINAS dan agensi berkaitan melalui sesi libat urus serta perkongsian pandangan bersama pemain industri bagi memperkukuh kefahaman terhadap garis panduan dan memastikan penghasilan kandungan yang menghormati nilai agama serta kepentingan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata JAKIM turut menyambut baik langkah yang diambil Kementerian Komunikasi menerusi FINAS dalam memperkukuh tatacara dan pematuhan berkaitan kandungan dalam industri filem dan televisyen.
Terdahulu, JAKIM bersama FINAS dan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia dilaporkan terlibat dalam pertemuan bersama pihak produksi dan platform penstriman berhubung kandungan sebuah drama yang mencetuskan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Kandungan yang mula ditayangkan melalui satu platform penstriman pada bulan lepas itu didakwa menerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan.
-- BERNAMA