MERLIMAU: Penggunaan sistem Optical Character Recognition-Voters Attendance (OCR-VA) membolehkan pemantauan kehadiran pengundi dilakukan secara masa nyata, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan pengurusan pilihan raya.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom berkata, sistem itu membolehkan data kehadiran pengundi di pusat mengundi diakses menerusi laman sesawang SPR tanpa perlu menunggu kemas kini setiap jam seperti kaedah sebelum ini.
Menurutnya, maklumat berkenaan bukan sahaja bermanfaat kepada SPR, malah turut memberi akses kepada penganalisis politik dan pihak berkepentingan untuk memantau perkembangan proses pengundian.
“Ya, kita masih menggunakan sistem ini. Ia sangat berguna untuk mengumpul data kerana kita dapat data secara masa nyata.
“Sesiapa sahaja boleh pergi ke laman sesawang kita untuk melihat bilangan pengundi yang telah datang. Sebelum ini, kita perlu menunggu kemas kini setiap jam, tetapi sekarang kita mendapat kemas kini secara masa nyata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada tinjauan persiapan pengundian PRN Melaka, di Dewan Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Mengulas penerimaan petugas pilihan raya terhadap sistem berkenaan, Azmi berkata pihaknya mengakui petugas perlu membiasakan diri dengan kaedah baharu itu, namun pelaksanaannya tidak terlalu rumit.
Katanya, sistem berkenaan disifatkan mudah digunakan dan tepat, selain tidak menjejaskan kerahsiaan undi atau menyebabkan perubahan ketara terhadap tempoh masa yang diambil pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
“Ia agak mudah dan tepat. Kita meneruskan penggunaan sistem ini sebagai sebahagian daripada usaha memodenkan lagi sistem pengundian kita.
“Saya harap orang ramai dan semua pihak berkepentingan dapat melihatnya secara positif kerana ini adalah satu percubaan untuk memperbaiki sistem pengundian kita,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan pengundi supaya menyemak maklumat pusat mengundi dan saluran masing-masing menerusi portal MySPR sebelum hadir pada hari pengundian.
Katanya, langkah itu dapat mengelakkan kekeliruan, termasuk kesilapan hadir ke pusat mengundi yang tidak sepatutnya.
Bagaimanapun, pengundi yang tidak mempunyai akses internet boleh mendapatkan bantuan petugas SPR di pusat mengundi untuk menyemak saluran masing-masing.
Pada PRN Melaka kali ini, sebanyak 240 pusat mengundi melibatkan 1,213 saluran akan dibuka bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 14 November 2026.
Seramai 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 14 November ini.