JOHOR BAHRU: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor akan memastikan bekalan makanan kepada masyarakat Orang Asli terjejas banjir di negeri ini, termasuk yang terputus hubungan, sentiasa mencukupi.

Pengarahnya Faisal Long berkata sehingga kini terdapat tiga Kampung Orang Asli (KOA) di Mersing dan enam KOA di Kluang yang terjejas hubungan susulan banjir.

Bagi memastikan bekalan makanan kepada mangsa tidak terputus, pihaknya telah menghantar 130 bakul makanan kepada mangsa yang terletak di dua kampung di daerah Mersing iaitu Kampung Punan dan Kampung Tewowoh semalam.

"Kita juga akan menghantar sebanyak 220 bakul makanan di daerah Kluang pada 10 Jan nanti dan antara perkampungan Orang Asli yang terjejas kali ini ialah Kampung Pucur, Kampung Sungai Peroh dan Kampung Sedohok.

"Bagi mangsa di Kampung Peta di Mersing, bekalan bakul makanan telah dihantar beberapa hari lepas dan masih mencukupi," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Selain itu, beliau berkata pihak JAKOA turut berjaya mengeluarkan seramai 11 pelajar dari Kampng Punan dan Kampung Tewowoh, Mersing, untuk meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nitar, Mersing serta dan seorang penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kuala Lipis, Pahang, dari Kampung Punan, Mersing.

"Kita juga telah berjaya mengeluarkan seorang ibu yang sarat mengandung dan seorang pesakit kanser dari Kampung Punan dengan bantuan pejabat kesihatan daerah untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital," katanya.

Beliau menambah operasi penghantaran bekalan menempuh laluan sungai itu turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat; Agensi Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Bagi mangsa banjir yang memerlukan bantuan tambahan, Faisal berkata mereka boleh berhubung dengan pusat kawalan operasi banjir (PKOB).

-- BERNAMA\