Skip to main content

Malaysia

JAS Pulau Pinang terima 254 aduan dalam tiga bulan

GEORGE TOWN, 16 Mac (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menerima 254 aduan berkaitan pencemaran alam sekitar dalam tempoh tiga bulan pada tahun ini.
Badlishah memaklumkan JAS Pulau Pinang telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 73 surat amaran, 13 notis arahan dan lima kompaun dalam tempoh yang sama. - Gambar JAS Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menerima 254 aduan berkaitan pencemaran alam sekitar dalam tempoh tiga bulan pada tahun ini.

Pengarah JAS Pulau Pinang Badlishah Ahmad berkata daripada jumlah itu, 216 melibatkan pencemaran udara, air (19), bunyi bising (lima) dan sisa buangan terjadual (dua).

Advertisement

“Aduan lain ialah satu berkaitan tumpahan minyak marin serta 11 berkaitan kacau-ganggu dan pembuangan sampah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Badlishah berkata rekod terkini pihaknya menunjukkan aduan tertinggi berkaitan pembakaran terbuka, iaitu 167 aduan melibatkan tanah terbiar, kawasan pertanian, tapak pembangunan, rizab kerajaan dan kawasan perumahan.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kira-kira 60 peratus daripada jumlah aduan itu berasas manakala selebihnya didapati tidak berkaitan dan dipanjangkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Badlishah memaklumkan JAS Pulau Pinang telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 73 surat amaran, 13 notis arahan dan lima kompaun dalam tempoh yang sama.

“Pembakaran terbuka merupakan kesalahan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika disabitkan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM25,000 dan maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai tidak menjalankan aktiviti pembakaran terbuka terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering yang boleh menyebabkan api merebak dengan cepat serta menjejaskan kualiti udara.

Beliau berkata ia selaras dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan serta Pelan Tindakan Pencegahan Kebakaran Terbuka yang digerakkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 15 Feb.

-- BERNAMA

 

TAG: JAS, Pulau Pinang, pencemaran, pembakaran terbuka

Must Watch Video