MALAYSIA
JAKOA rancang sedia kemudahan internet di taska KEMAS penempatan Orang Asli

Sapiah berkata usaha menerusi inisiatif pendigitalan pendidikan prasekolah itu bertujuan membolehkan anak-anak komuniti Orang Asli menikmati kemudahan pendidikan lebih moden. - Gambar fail/Bernama
GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) merancang menyediakan kemudahan internet di semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di penempatan Orang Asli mulai tahun depan.
Ringkasan AI
- JAKOA akan menyediakan kemudahan Internet di Tabika KEMAS: Bermula tahun depan, semua Tabika KEMAS di penempatan Orang Asli akan dilengkapi dengan akses internet sebagai sebahagian daripada inisiatif pendigitalan pendidikan prasekolah.
- Usaha ini adalah sebahagian strategi pembangunan modal insan: Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor, menyatakan bahawa ini adalah langkah penting dalam membangunkan pendidikan komuniti Orang Asli dalam tempoh lima tahun akan datang.
- Kerjasama dengan KEMAS untuk mengenal pasti lokasi keutamaan: JAKOA sedang bekerjasama dengan pihak KEMAS untuk menentukan kawasan yang perlu diberi perhatian bagi memastikan liputan komunikasi yang lebih baik di kawasan pedalaman.
Sapiah berkata pada masa ini terdapat 20 Tabika KEMAS di Kelantan dan dua di Terengganu terletak di kawasan penempatan Orang Asli.
"Di peringkat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kita (JAKOA) sedang merangka strategi pendigitalan pendidikan prasekolah di penempatan Orang Asli.
"Berdasarkan lawatan ke beberapa lokasi, terdapat tabika dan institusi pendidikan yang memerlukan perhatian khusus.
"Insya-Allah, kita akan sediakan kemudahan ini (Internet) berdasarkan skop dan peruntukan di bawah JAKOA," katanya kepada pemberita sempena Program Mesra Rakyat di Kuala Wook di sini.
Sapiah berkata JAKOA sedang bekerjasama dengan KEMAS bagi mengenal pasti lokasi yang perlu diberi keutamaan, memandangkan kemudahan Internet dan liputan komunikasi adalah keperluan utama di kawasan pedalaman.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami