Jalan Changkat di Bukit Bintang, di sini akan ditutup untuk semua kenderaan pada setiap Jumaat dan Sabtu bermula enam petang hingga enam pagi berkuatkuasa serta-merta.

Penutupan laluan berkenaan adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, berkata sebelum ini kawasan berkenaan dilaporkan mengalami kesesakan teruk akibat tindakan pemandu yang meletakkan kenderaan sesuka hati selain berlaku kegiatan pergaduhan dan jenayah kekerasan.

Justeru tindakan penutupan jalan berkenaan diambil, bagi memastikan segala aktiviti yang berlaku dapat dipantau dan dikawal oleh anggota polis yang ditempatkan di kawasan berkenaan.

"Kami telah mengambil tindakan supaya menutup Jalan Changkat bagi memastikan keselamatan pengunjung yang berkunjung di kawasan terbabit dan juga mengurangkan kesesakan jalan raya," katanya ketika ditemui selepas Ops Bersepadu di ibu negara, malam tadi.

Sepanjang penutupan jalan berkenaan, pengguna dari arah Hotel Istana, hanya boleh melalui sebahagian Jalan Changkat sebelum dilencongkan ke Jalan Alor, manakala pengguna dari arah Bukit Ceylon, boleh melalui beberapa laluan di kawasan berhampiran.