NATIONAL
Jalan Keningau-Tenom ditutup susulan tanah runtuh - JKR Sabah

JKR berkata, kerja-kerja penyediaan laluan lencongan sedang giat dijalankan. - Gambar/ JKR Sabah
KOTA KINABALU: Jalan Keningau-Tenom di Kilometer 151.950/142.250 ditutup bermula hari ini atas faktor keselamatan susulan kejadian tanah runtuh.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan kerja-kerja penyediaan laluan lencongan sedang giat dijalankan, namun jika hujan berterusan dan runtuhan masih aktif, penutupan jalan terpaksa dilanjutkan.
"Pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tenom-Sipitang (melalui Sipitang)," menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, JKR Sabah turut memaklumkan Jalan Keningau-Kimanis juga ditutup sepenuhnya sejak 4 Mac demi keselamatan pengguna kerana kejadian tanah runtuh masih dikesan di laluan berkenaan."Orang ramai dari Kota Kinabalu ke Keningau atau Tenom dinasihatkan agar menggunakan jalan alternatif melalui Tambunan (Kota Kinabalu-Keningau-Tenom).
"JKR membuat pemantauan berterusan dan kerja-kerja pembersihan masih dilaksanakan, bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan di lokasi, sekiranya cuaca tidak mengizinkan dan runtuhan masih aktif, penutupan jalan terpaksa dilanjutkan," menurut kenyataan itu.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami