Jalan Pintasan Semenyih: Ini Malaysia baharu, jangan lengah laksana projek - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di Jalan Sungai Pening hari ini. - Foto Bernama
SEMENYIH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa projek Jalan Pintasan Semenyih disegerakan supaya rakyat dapat menikmati kemudahan pembangunan.
Tegasnya, tanpa sebab rintangan yang kukuh, tiada sebab untuk projek ini ditangguhkan sehingga berbulan-bulan yang bakal merugikan pelbagai pihak.
"Kalau dah semua setuju, jangan lengahkan, percepat pelaksanaan projek. Saya tak faham kenapa nak tunggu kelulusan sampai lapan, enam bulan kalau boleh siap dalam masa dua bulan.
"Ikut peraturan, prosedur mesti betul, jika boleh lulus dalam masa dua bulan, buat untuk dua bulan.
"Ini Malaysia baharu yang mahu catat pertumbuhan lebih baik supaya rakyat dapat menikmati kelebihan pembangunan. Kita tak boleh lengahkan. Saya harap mesej ini jelas, sama ada di bandar ataupun di desa," ujar Anwar ketika melancarkan Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di Jalan Sungai Pening, Kampung Sungai Pening, di sini, pada Selasa.
Projek Jalan Pintasan Semenyih merupakan kerjasama strategik antara syarikat pemaju, KHK Land dan Kerajaan Persekutuan yang melibatkan pembinaan laluan sepanjang 4.3 kilometer dengan empat lorong.
Ia bakal menghubungkan Semenyih ke Lebuhraya SILK serta beberapa lebuh raya utama lain termasuk Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) dan CKE.
Laluan ini dijangka mengurangkan kesesakan trafik setempat dan memendekkan masa perjalanan ke Kuala Lumpur daripada kira-kira 45 minit kepada hanya 20 minit.
Pembinaan jalan pintasan ini dijangka merancakkan aktiviti ekonomi tempatan dengan meningkatkan akses ke kawasan perniagaan, perusahaan kecil dan destinasi pelancongan seperti Bukit Broga dan Banjaran Titiwangsa.
Tambah Anwar, Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan akan menggantikan semula tanah rizab Melayu yang diambil untuk pembinaan Jalan Pintasan Semenyih.
Dalam projek sama, Anwar turut memaklumkan tanah perkuburan Islam akan didirikan di Hulu Semenyih yang mampu menampung keperluan jenazah umat Islam di Kuala Lumpur selama 28 tahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


