Pemergian mengejut Anggota Parlimen Rompin Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas melibatkan sebuah helikopter terhempas di Semenyih semalam meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat Rompin.

Menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang komited menyelesaikan segala permasalahan di kawasannya, rata-rata daripada penduduk mengakui pemergiannya sukar dicari ganti.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tekek, Pulau Tioman, Zulkarnaini A.Hamid berkata selain membawa pembangunan di Pulau Tioman khususnya dalam meningkatkan industri pelancongan, Allahyarham seorang pemimpin yang prihatin dan sanggup turun padang membantu rakyat tidak kira masa.

"Pernah suatu ketika Kampung Tekek dilanda banjir kilat pada 2013, saya telah hubungi pegawai Allahyarham hanya untuk memaklumkan mengenai kejadian itu, tetapi tidak sampai sejam arwah sampai di Kampung Tekek semata-mata untuk melihat apa yang berlaku.

"Arwah kemudian tanpa membuang masa terus pergi ke rumah mangsa yang terlibat dan menghulurkan sumbangan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Allahyarham juga adalah antara pemimpin yang berusaha membawa projek pembinaan 116 rumah murah di kampung berkenaan bagi untuk penduduk setempat yang kini hampir siap pembinaannya, katanya.

Zulkarnaini juga sempat berjumpa dan bergambar kenangan buat kali terakhir bersama Allahyarham dua hari lepas ketika pelancaran Agrobazaar di Indera Mahkota, Kuantan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi Ketua Kampung Kuala Rompin, Mohamad Razak Daud, beliau terkilan kerana hasrat Allahyarham untuk menyediakan jeti pelancongan di kawasan Kuala Rompin bagi menaik taraf jeti sedia ada, tidak kesampaian.

"Arwah pesan pada saya supaya buat kertas kerja untuk meminta peruntukan dari kerajaan untuk menaik taraf jeti itu sebab jeti itu terlibat dalam pertandingan memancing ikan layaran yang diadakan setiap tahun di sini.

"Namun, hasrat arwah untuk melihat jeti itu dibina tidak kesampaian kerana beliau terlebih dahulu kembali ke pangkuan Illahi," katanya yang mengenali rapat arwah selama lebih tujuh tahun.

Jasa dan sumbangan Allahyarham kepada masyarakat Rompin juga tidak terhad kepada satu kaum kerana beliau turut memberi pelbagai bantuan kepada masyarakat Cina dan Orang Asli di Rompin.

Perkara itu diakui oleh Pengerusi Lembaga Pengurus Toa Pei Kong Rompin, Sea Ho@Tan Sheng Chin apabila arwah bersungguh-sungguh mencari dana bagi membina bangunan baharu sebuah tadika yang terlalu uzur.

"Semasa hayatnya, beliau datang melawat dan mahu bangunan tadika itu dibina baharu sehingga mampu menghulurkan bantuan berjumlah RM230,000 kepada pihak kami untuk membina semula bangunan tadika itu.

"Kini bangunan tadika itu hampir siap dan pihak kami berhasrat menjemput beliau untuk merasmikan, namun hajat tidak kesampaian kerana beliau telah pergi," kata Tan dalam nada sebak.

Tan berkata sepanjang Allhayarham menjadi anggota Parlimen Rompin, beliau juga tidak pernah lupa menghulurkan 'angpau' kepada golongan sasar terutama warga tua, ibu tunggal dan anak-anak yatim setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.

Dalam memajukan masyarakat Orang Asli pula, Anggota Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Rompin Rosman A/L Sulong berkata, arwah telah memberi ruang kepadanya untuk menyertai bidang politik bagi memastikan nasib kaum Orang Asli terbela.

"Beliau pernah berpesan pada saya, bila dah ada jawatan, gunakan ia untuk menaikkan Orang Asli, awak orang muda, mesti berani suarakan pendapat kalau nak lihat Orang Asli maju," katanya.

Jamaluddin yang sebelum ini pernah dilantik sebagai wakil khas kerajaan ke Amerika Syarikat terkorban bersama lima yang lain dalam nahas melibatkan sebuah helikopter awam di Semenyih semalam.

Turut terkorban ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.