SEMPORNA: Empat penduduk perkampungan atas air cedera selepas jambatan yang menghubungkan pasar awam roboh dalam kejadian di Kampung Bangau-Bangau, pada malam Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa turut melibatkan kanak-kanak perempuan yang mengalami cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.03 malam.

Katanya lagi, seramai 15 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh satu kilometer dari BBP Air Semporna.

"Kejadian melibatkan sebuah jambatan simen sepanjang 300 meter yang menghubungkan pasar awam ke kampung tersebut roboh dan menyebabkan empat terjatuh ke dalam laut.

"Turut terlibat sebuah rumah roboh dan mengalami kerosakan 80 peratus manakala sebuah lagi motosikal turut jatuh ke dalam laut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Susulan kejadian itu Noor Jali berkata, terdapat empat penduduk cedera apabila dua daripadanya di hantar ke hospital dan dua lagi dirawat oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

"Dua penduduk yang cedera ringan tersebut menolak untuk mendapatkan rawatan di hospital," katanya.

Katanya lagi, operasi belum ditamatkan setakat ini dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa. - Sinar Harian